Pandelela diyakini mampu beri aksi terbaik buru slot ke Paris 2024

Sinar Harian
Februari 6, 2024 09:20 MYT
Pandelela ketika menjalani sesi latihan pada Kejohanan Olimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo, 26 Julai 2021. - Gambar fail BERNAMA
RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong diyakini mampu melakukan aksi terbaik bagi memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang berbaki 171 hari lagi.
Atlet berusia 30 tahun itu pada Ahad terlepas tiket ke Paris dalam acara kegemarannya 10 meter (m) platform individu wanita setelah gagal mara ke separuh akhir Kejohanan Akuatik Dunia di Qatar.
Pandelela bagaimanapun masih mempunyai satu lagi peluang untuk membuat penampilan di Paris apabila dia akan beraksi bersama Nur Dhabitah Sabri dalam acara 10m platform seirama pada Selasa.
Pengarah Teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas mengakui sebagai atlet senior, Pandelela memahami dan sedar dengan misi penting buatnya di Doha ini.
“Pandelela atlet senior dan saya percaya dia sudah mula fokus untuk acara platform seirama esok (Selasa).
“Dhabitah ada mengalami minor triceps injury ketika mula tiba di Doha, namun tidak membimbangkan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu gagal mempamerkan prestasi terbaiknya apabila sekadar menamatkan saingan kelayakan di kedudukan ke-29 daripada 46 penerjun.
Justeru, Bryan mahu semua atlet kekal tenang dan fokus untuk mengharungi acara yang masih berbaki yang menawarkan tempat ke Sukan Olimpik Paris Julai depan.
“Semua acara di sini sangat penting bagi kita terutama untuk acara wanita. Fokus kita kepada acara seirama untuk dapatkan mata terbaik dan melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” katanya.
Pandelela-Dhabitah perlu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik bagi mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris. - Sinar Harian
#Pandelela Rinong #Sukan Olimpik Paris 2024 #Kejohanan Akuatik Dunia #Bryan Nickson Lomas
;