Panama Papers: Barcelona janji bantu Lionel Messi
Nizam Bakeri
April 7, 2016 11:57 MYT
April 7, 2016 11:57 MYT
KELAB bola sepak elit Sepanyol, Barcelona berjanji akan membantu pemain bintang Lionel Messi dalam aspek kewangan dan perundangan berkenaan Panama Papers, lapor CNN.
Dalam satu kenyataan Isnin lalu, keputusan tersebut diambil Barcelona selepas Messi menyatakan kemungkinan menyaman media tempatan yang mengaitkannya dengan skandal tersebut.
Akhbar El Confidencial melaporkan Messi menggunakan syarikat Mega Star Enterprises di Panama untuk mengelak pembayaran cukai. Akhbar tersebut turut menyiarkan tandatangan Messi dan bapanya dalam dokumen pemilikan syarikat berkenaan:
“Sejak kali pertama ‘Panama Papers’ dikaitkan dengan Messi, FC Barcelona sentiasa menyokong pemain tersebut dan keluarganya. Kelab ini menyediakan segala bantuan pentadbiran, fiskal, dan perundangan yang diperlukan oleh keluarga pemain untuk mengambil tindakan dan membersihkan nama mereka,” jelas Barcelona.
Sementara itu, Messi telah mengarahkan para peguamnya untuk menganalisis tindakan perundangan yang bakal dikenakan kepada media tempatan yang menyiarkan dakwaan kononnya Messi mengelak cukai bahkan menggubah wang haram, yang disifatkannya sebagai palsu dan fitnah.
Isnin lalu, Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (ICIJ) mendedahkan lebih 11 juta dokumen yang didakwa diperoleh dari sebuah firma perundangan di Panama, Mossack Fonseca yang bertanggungjawab mengendalikan urusan penubuhan syarikat luar pesisir.