Pan Gon yakin di sebalik tekanan menggunung kendali skuad kebangsaan

Bernama
Januari 24, 2024 07:15 MYT
Kim Pan Gon mendedahkan tekanan besar yang dihadapinya dalam membimbing skuad Harimau Malaya sejak mengambil alih tugas pada Januari 2022.
DOHA: Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon mendedahkan tekanan besar yang dihadapinya dalam membimbing skuad Harimau Malaya sejak mengambil alih tugas pada Januari 2022.
Walaupun menghadapi cabaran, bekas pengarah pasukan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) menzahirkan keyakinan terhadap keupayaannya untuk memimpin pasukan dan menyumbang kepada pertumbuhan bola sepak Malaysia.
Merungkai pencapaiannya semasa kepimpinannya, warga Korea Selatan berusia 54 tahun itu percaya bahawa usahanya telah menunjukkan dedikasi dan optimismenya dalam membentuk masa depan yang cerah untuk pasukannya.
"Sebagai jurulatih, segala tekanan di bahu saya dari kejohanan demi kejohanan, tetapi percaya saya telah membuktikan dalam dua tahun lepas untuk memberikan yang terbaik kepada bola sepak Malaysia, jadi saya yakinkan diri bahawa kita boleh memberikan perkara terbaik untuk masa depan juga..
"Kadang-kadang ada banyak tekanan tetapi saya perlu atasi, tetapi jika sesuatu berlaku (pecat) itu adalah takdir saya, sebagai jurulatih saya perlu sentiasa bersedia," katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini menjelang pertemuan terakhir kumpulan E Piala Asia 2023 menentang Korea Selatan esok.
Pan Gon mengulas kepada soalan sama ada beliau merasakan akan mendapat sokongan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk terus menerajui pasukan kebangsaan walaupun prestasi hambar dalam kempen Piala Asia kali ini.
Beliau menegaskan, keazamannya untuk mengatasi cabaran, menyerlahkan keperluan mengekalkan pemikiran yang positif dan menghapuskan sebarang negatif atau ketakutan yang berkaitan dengan peranan itu.
"Saya perlu membuang semua perkara negatif dan ketakutan. Saya perlu kuat dan positif untuk mengendalikan pasukan," katanya.
Malaysia akan menentang juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub, di sini, esok dalam misi mengutip sekurang-kurangnya satu mata selepas tewas dua perlawanan sebelum ini, 0-4 di tangan Jordan dan 0-1 menentang Bahrain .
Dua kekalahan itu menafikan peluang Malaysia mencipta sejarah dengan layak ke pusingan 16 buat kali pertama yang menjadi matlamat peribadi Pan Gon.
Sebelum Piala Asia, Harimau Malaya di bawah kendalian Pan Gon mencatatkan 18 kemenangan, empat seri dan lima kekalahan daripada keseluruhan 27 perlawanan dalam semua pertandingan.
Malaysia juga berada di landasan tepat untuk layak buat kali pertama ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia yang menyaksikan mereka kini mendahului saingan Kumpulan D dengan enam mata selepas menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan 1-0, November lalu.
Selepas ini, Harimau Malaya dijadualkan bertemu Oman di tempat lawan pada 21 Mac dan menjadi tuan rumah kepada pasukan itu pada 26 Mac, diikuti Kyrgyzstan di tempat lawan pada 6 Jun sebelum menjadi tuan rumah kepada Taiwan pada 11 Jun. - BERNAMA
#Piala Asia 2023 #Kim Pan Gon #harimau Malaya #Ketua Jurulatih Kebangsaan
;