Pan Gon tidak puas hati dengan keadaan padang SNBJ

Bernama
Mac 8, 2024 05:20 MYT
Pan Gon menyatakan kerisauan beliau dengan keadaan padang SNBJ itu selepas melakukan pemeriksaan bersama Hamidin, Hans Isaac dan kakitangan kejurulatihannya. - Foto fail/BERNAMA
PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon dilihat agak kecewa dengan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalik (SNBJ) yang akan digunakan untuk perlawanan keempat Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ 2027 Piala Asia menentang Oman pada 26 Mac.
Pan Gon menyatakan kerisauan beliau dengan keadaan padang SNBJ itu selepas melakukan pemeriksaan bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Datuk Hans Isaac dan kakitangan kejurulatihannya, pada Khamis.
"Bagaimanapun kakitangan teknikal di stadium itu berkata mereka yakin bahawa padang itu akan berada dalam keadaan baik, menjelang 26 Mac.
"Saya amat kecewa, tetapi beliau (kakitangan teknikal) beritahu kepada kami yang pasukan kami tidak akan bermain esok," katanya kepada media pada hari pertama latihan pusat, di sini pada Jumaat.
Sebelum ini persoalan mengenai keadaan padang yang menjadi stadium tuan rumah Harimau Malaya timbul, selepas beberapa konsert dianjurkan di venue itu.
Harimau Malaya memulakan latihan pusat di Wisma FAM hari ini sebagai persediaan untuk perlawanan ketiga Kumpulan D, menentang pasukan ke-80 dunia Oman, di stadium Pusat Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada 21 Mac, sebelum pulang untuk perlawanan keempat di Bukit Jalil, lima hari kemudian.
Selepas dua perlawanan tersebut, Malaysia yang pada masa ini berkedudukan ke-132 dunia akan bertemu Kyrgyzstan (6 Jun) di tempat lawan dan kembali ke Malaysia untuk bertemu Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.
Malaysia berada pada laluan yang baik untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia / Piala Asia buat pertama kalinya, dengan ketika ini mendahuli carta Kumpulan D dengan kelebihan tiga mata lebih dari Oman.
Anak buah Pan Gon mencatatkan dua kemenangan menentang Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) tahun lepas untuk mendahului carta kumpulan, manakala Oman di tempat kedua berkongsi mata dengan Kyrgyzstan, manakala Taiwan berada di tempat terakhir tanpa sebarang mata.
-- BERNAMA
#bola sepak #harmau malaya #Piala Dunia #FAM
;