Pan-gon teruja latih pemain di bulan Ramadan

Sinar Harian
Mac 23, 2023 00:15 MYT
Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon melakukan persiapan terakhir petang Rabu menjelang Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, malam ini. - Facebook FAM
PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui teruja apabila pertama kali melatih pemain yang berpuasa menjelang perlawanan bola sepak.
Menurut Pan-gon, beliau dan barisan kejurulatihan pasukan benar-benar mahu menyaksikan bagaimana pemain menjalani latihan selain beraksi di bulan puasa.
"Ini merupakan kali pertama saya dan barisan kejurulatihan mengendalikan latihan pasukan dalam bulan Ramadan.
"Oleh itu, saya dan barisan kejurulatihan mahu tahu... apa yang pemain lakukan di bulan Ramadan ini.
"Antaranya nutrisi yang mereka (pemain) ambil, selain bagaimana mereka bersedia dari segi fizikal dan mental ketika berpuasa," katanya pada Rabu.
Untuk rekod, skuad Harimau Malaya bakal berdepan Turkmenistan pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini sebelum berdepan Hong Kong di venue sama pada 28 Mac.
Sementara itu Pan-gon berkata, pihaknya juga tidak memberikan keutamaan kepada keputusan perlawanan tetapi lebih mementingkan kepada persembahan pemain.
Katanya, siapa sahaja yang diturunkan nanti perlu memberikan aksi yang terbaik di sepannjang perlawanan.
"Bukan keputusan yang kita cari... tetapi persembahan dan prestasi pemain yang kita mahu saksikan.
"Oleh itu, mana-mana pemain yang beraksi malam esok (Khamis), diharap dapat memberikan aksi terbaik di sepanjang perlawanan," kata beliau. - Sinar Harian
#Kim Pan-gon #latih pemain #Ramadan #puasa