Pan-gon tahu apa nak buat dengan Harimau Malaya

Sinar Harian
Oktober 23, 2023 08:00 MYT
Pan-gon (kanan) berkata sesuatu kepada Arif Aiman semasa aksi Pestabola Merdeka baru-baru ini. - Foto FAM
PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon sudah tentu tahu apa yang mahu dilakukannya dalam usaha membentuk pasukan mantap menjelang aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung kurang sebulan daripada sekarang.
Bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan berkata, penyokong negara perlu memahami proses yang sedang direncana Pan-gon selain melihat pasukan negara akan bangkit lebih kuat dalam perlawanan akan datang.
Menurutnya, Pan-gon juga mencuba taktikal berbeza tidak seperti kebiasaan dalam dua perlawanan Pestabola Merdeka menang India dan Tajikistan itu dan sudah nampak sejauh mana ia boleh digunakan untuk aksi berdepan pasukan lebih kuat.
"Kita kena percaya kepada proses. Jarang kita dapat lihat Pan-gon menggunakan empat pemain penyerang dalam satu masa.
"Dalam perlawanan baru-baru ini kita tengok Arif Aiman, Faisal Halim, Akhyar Rashid dan Darren Lok bermain sekali.
"Nak main taktikal sama sahaja, mungkin ada sesetengah perlawanan tak sesuai untuk pakai taktikal yang biasa digunakan, masa inilah (ketika Pestabola Merdeka) Pan-gon cuba taktikal tersebut.
"Bagus untuk kita tahu kelemahan taktikal itu sama ada ia tidak sesuai atau pemain gagal memahami taktikal tersebut sebelum diterapkan menjelang aksi lebih penting seperti Kelayakan Piala Dunia/Kelayakan Piala Asia dan pusingan akhir Piala Asia di Qatar," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Dalam perlawanan Pestabola Merdeka itu, Harimau Malaya cemerlang pada aksi pertama menewaskan pasukan di ranking ke-102 dunia, India 4-2, namun gagal untuk mengatasi Tajikistan (110) ketika aksi final apabila tewas 0-2.
Kekalahan itu disifatkan sebagai 'wake up call' selepas skuad negara cemerlang dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini termasuk keputusan membanggakan mengikat pasukan China di ranking ke-80 dunia dan Syria di ranking ke-93 dunia.
Selepas ini, skuad negara akan berdepan Kyrgyzstan pada aksi pembukaan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Asia/Piala Dunia pada 16 November ini dan kemudian bertemu Taiwan, lima hari kemudian.
Dalam pada itu, Razman tidak melihat akan ada rombakan besar yang akan dilakukan Pan-gon dalam kesebelasan utama pasukan negara menjelang perlawanan kelayakan itu.
"Skuad kebangsaan dah ada pemain tetap yang akan beraksi.
"Kalau kita lihat, di posisi penjaga gol, serangan dan pertahanan memang kita dah tahu siapa yang akan main.
"Contoh di bahagian serangan, Faisal, Arif, Darren Lok dan Akhyar sudah tentu sudah berada dalam senarai, cuma siapa nak beraksi bergantung keperluan pada hari perlawanan.
"Jadi, kita serahkan kepada kepakaran Pan-gon," katanya. - Sinar Harian
#harimau Malaya #Kim Pan-gon #Kelayakan Piala Dunia 2026 #Kelayakan Piala Asia 2027
;