Pan Gon sudah tiba semalam, sedang jalani kuarantin - Mohd Saifuddin

Bernama
Februari 12, 2022 20:23 MYT
Penantian peminat bola sepak tanah air untuk melihat kelibat ketua jurulatih baharu Harimau Malaya Kim Pan Gon bakal berakhir dalam masa terdekat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penantian peminat bola sepak tanah air untuk melihat kelibat ketua jurulatih baharu Harimau Malaya Kim Pan Gon bakal berakhir dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata jurulatih berusia 52 tahun itu tiba di Malaysia dari Korea Selatan, petang semalam.
Pan Gon hadir bersama barisan kejurulatihannya yang terdiri daripada jurulatih penjaga gol Cho Jun Ho, Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (penganalisis), manakala penolong jurulatih dari Sepanyol Pau Marti Vicente belum tiba kerana perlu menjalani kuarantin di negaranya.
"Beliau sudah mula menjalani kuarantin wajibnya di sebuah hotel, yang dijangka tamat jika diuji negatif untuk COVID-19 pada ujian hari kelima," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Saifuddin berkata sebaik tamat kuarantin itu, pihaknya merancang mengadakan sidang media untuk memperkenalkan Pan Gon secara rasmi kepada peminat bola sepak tanah air.
Pada sidang media itu, Pan Gon dijangka menerangkan perancangannya untuk skuad Harimau Malaya dan mengumumkan lawan yang dipilih bagi siri aksi persahabatan pada jendela Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bermula dari 21 hingga 29 Mac ini.
Sebelum ini, Mohd Saifuddin berkata enam negara telah menunjukkan minat untuk menguji Malaysia menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini.
Ditanya mengenai penolong jurulatih tempatan selepas pihaknya menyenarai pendek dua calon sebelum ini, beliau berkata Pan Gon akan membuat keputusan mengenai perkara itu dalam masa terdekat.
Pan Gon juga dijangka mengadakan pertemuan bersama Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, Pengarah Teknikal Scott O'Donell dan Mohd Saifuddin selepas selesai kuarantin.
Bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) itu dilantik menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya bulan lalu dengan mengambil tanggungjawab ke atas kegagalan Harimau Malaya di Piala AFF, Singapura Disember lepas.
Tugasan pertama Pan Gon adalah memantau prestasi pemain pada saingan Liga Malaysia 2022 yang dijadual bermula awal Mac ini, sebelum mengendalikan kem latihan pusat skuad kebangsaan.
Beliau kemudian akan membimbing skuad negara untuk menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini, dalam misi menamatkan penantian lebih 40 tahun Malaysia layak secara merit ke pusingan akhir kejohanan peringkat benua itu.
-- BERNAMA
#ketua jurulatih baharu Harimau Malaya #Kim Pan Gon #FAM #boa sepak #Mohd Saifuddin Abu Bakar
;