Pan Gon puji kesungguhan pemain cipta kemenangan ke atas Hong Kong

Bernama
Jun 2, 2022 10:20 MYT
Pan Gon amat berpuas hati menyaksikan pasukannya menewaskan Hong Kong 2-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan Kim Pan Gon amat berpuas hati menyaksikan pasukannya menewaskan Hong Kong 2-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Menurut Pan Gon, skuad Harimau Malaya yang berada di ranking ke-154 dunia telah mempamerkan prestasi cemerlang sebagai satu pasukan dan berjaya mengekalkan disiplin, fokus dan konsisten sepanjang perlawanan seperti yang dikehendakinya.
"Jadi, hari ini (malam tadi) bercakap tentang tidak mencari kemenangan tetapi jika kita bermain dengan konsisten seperti ini, kita boleh melakukannya.
"Pemain telah membuktikan semangat, tenaga dan semua keinginan mereka kepada kita. Semoga para peminat dapat menikmatinya.
"Pada saya, ini masih belum 100 peratus tapi kita mengorak langkah demi langkah untuk memenuhi jangkaan peminat," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Kejayaan menewaskan Hong Kong yang menduduki ranking ke-147 adalah kemenangan kedua berturut-turut skuad negara selepas mengalahkan Brunei 4-0 pada satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa Jumaat lepas.
Pada perlawanan malam tadi, dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) menyumbang dua gol kemenangan masing-masing pada minit ke-31 menerusi sepakan penalti Muhammad Safawi Rasid dan sepakan percuma Safiq Rahim pada penghujung perlawanan.
Pan Gon berkata dua kemenangan berturut-turut itu memberi impak positif kepada pasukannya menjelang kempen Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).
Sementara itu, ketua jurulatih Hong Kong Jorn Andersen menerima kekalahan pasukannya dengan mengakui pasukannya tidak beraksi dengan baik serta terkejut dengan kualiti yang dipamerkan skuad Harimau Malaya.
"Mereka (Malaysia) adalah pasukan yang baik, mereka bermain corak pantas dan kami tidak biasa pada awalnya.
"Kami terpaksa mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri. Kami juga tidak komited kepada perlawanan dan taktikal.
"Tapi saya tidak mahu terlalu negatif. Pada saya ia satu ujian yang baik dan berharap pemain dapat mempelajari sesuatu daripada perlawanan ini," kata jurulatih dari Norway itu.
Andersen yang pernah membimbing Korea Utara menewaskan Malaysia pada kelayakan Piala Asia 2019 berkata pasukan negara kini mempunyai beberapa pemain berkualiti.
Skuad bimbingan Andersen bakal berdepan India, Afghanistan dan Kemboja dalam saingan Kumpulan D.
-- BERNAMA
#Kim Pan Gon #Hong Kong #ketua jurulatih skuad kebangsaan #persahabatan antarabangsa Tier 1
;