Pan Gon pilih Elavarasan sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya
Ridauddin Daud
Februari 23, 2022 18:45 MYT
Februari 23, 2022 18:45 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas beberapa hari berteka-teki, akhirnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan E Elavarasan sebagai penolong jurulatih tempatan yang baharu.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, FAM memaklumkan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon secara rasminya mengesahkan pemilihan Elavarasan bagi menggalas tugas tersebut.
Lahir pada 5 Januari 1962, jurulatih tersebut kini merupakan ketua jurulatih Sarawak United FC, jawatan yang disandangnya sejak Februari 2020.
Menurut Pan Gon, pemilihan jurulatih berusia 60 tahun kelahiran Selangor itu menepati kriteria utama yang dikehendakinya.
BACA: Skuad Harimau Malaya: Tak kira tempatan, kacukan atau naturalisasi, Pan-gon pilih hanya yang terbaik
Pertama, beliau mahukan seorang jurulatih yang berpengalaman luas dengan senario bola sepak Malaysia dan kedua, cukup mengenali pemain yang sedang beraksi dalam kancah Liga Super dan Liga Premier.
“Selepas meneliti calon-calon yang telah ditemu duga oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell sebelum ini, saya sendiri telah bertemu Elavarasan untuk menemu duga beliau.
“Saya melihat Elavarasan sebagai calon terbaik dan individu paling sesuai untuk membantu saya dalam memberi informasi tepat, nasihat dan pendapat serta beberapa perkara lain.
"Saya melihat Elavarasan sebagai seorang jurulatih yang jujur, komited dan beliau sedia untuk memberi sepenuh kerjasama dalam usaha membantu kami barisan kejurulatihan baharu ini mengembalikan skuad Harimau Malaya ke satu tahap prestasi yang lebih baik,” katanya.
Elavarasan sebelum ini tidak pernah terbabit dalam mana-mana pasukan di bawah naungan FAM sebelum ini dan menyifatkan pelantikannya itu sebagai satu penghormatan.
“Saya melihat tugasan ini sebagai satu cabaran dan juga peluang untuk saya menyumbang di peringkat kebangsaan. Saya gembira diberi peluang terbabit dalam projek Pan Gon.
“Saya berharap semua anggota kejurulatihan di bawah seliaan Pan Gon dapat mencipta keserasian dengan segera untuk menghadapi tugasan utama tidak lama lagi.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada majikan saya Sarawak United yang sudi melepaskan saya lebih awal daripada kontrak saya dan tidak lupa kepada pemain dan penyokong yang memberi kerjasama kepada saya sepanjang khidmat saya di Sarawak United,” ujarnya.
Astro AWANI pada 17 Februari lepas melaporkan Pan Gon telah memperkenalkan barisan kejurulatihannya yang akan membantunya mengemudi skuad Harimau Malaya.
Mereka terdiri daripada Pau Marti Vicente dari Sepanyol (penolong jurulatih), Cho Junho dari Republik Korea (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir dari Turki (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun dari Republik Korea (jurulatih analisis prestasi).
Skuad Harimau Malaya dijadual memulakan kem latihan pusat pertama mereka di bawah kendalian Pan Gon pada 14 Mac ini bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Filipina pada 23 Mac dan Singapura pada 26 Mac 2022, kedua-duanya di Singapura.
Berikut adalah profil Elavarasan:
(Sumber: FAM)
Karier Kejurulatihan:
2020-2022: Sarawak United
2019: PDRM
2018: Melaka United
2015-2017: PKNS FC
2013: Terengganu
2009-2012: Felda United FC
2006: Melaka
2001-2005: Selangor Public Bank
1999: Selangor (Piala Bardhan)
1994-2000: Public Bank FC (Liga Dunhill Selangor)
Kejayaan:
1997, 1998 & 2000: Juara Liga Dunhill Selangor (Public Bank FC)
1999: Juara Piala Bardhan (Selangor)
2003: Juara Liga Premier 2 & layak ke Liga Super 2004 (Selangor Public Bank)
2004: Naib Juara Liga Super (Selangor Public Bank)
2006: Naib Juara Liga Premier & layak ke Liga Super 2007 (Melaka)
2010: Juara Liga Premier & layak ke Liga Super 2011 (Felda United FC)
2016: Naib Juara Liga Premier & layak ke Liga Super 2017 (PKNS FC)
2016: Naib Juara Piala FA (PKNS FC)
2019: Tempat Ketiga Liga Premier & layak ke Liga Super 2020 (PDRM)
2021: Naib Juara Liga Premier & layak ke Liga Super 2022 (Sarawak United)
-ENDS-
#Kim Pan Gon
#E Elavarasan
#harimau Malaya
#FAM
#bola sepak
#Persatuan Bola Sepak Malaysia
#penolong jurulatih