Pan Gon masih individu tepat bimbing Harimau Malaya - Mohd Saifuddin
Bernama
Mac 31, 2024 04:15 MYT
Mac 31, 2024 04:15 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mohd Saifuddin Abu Bakar menyifatkan Kim Pan Gon masih merupakan individu yang tepat sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.
Mohd Saifuddin yang juga antara individu penting dalam proses pelantikan Pan Gon pada Januari 2022 berkata pengendali dari Korea Selatan itu bukan sahaja telah membuktikan kemampuannya mentransformasikan pasukan negara sehingga layak secara merit ke Piala Asia selepas 42 tahun.
Beliau berkata selain sentuhan Pan Gon menyaksikan kedudukan Malaysia dalam ranking dunia meningkat dengan mendadak daripada posisi ke-154 kepada kedudukan terbaik di tempat ke-130, jurulatih berusia 54 tahun itu juga membuktikan profesionalisme dan kualiti kerja mengagumkan.
"Dia (Pan Gon) telah membawa Malaysia ke satu tahap yang kita tak jangka kita boleh berada di situ dalam masa terdekat, kita kena faham bahawa Kota Rom tidak boleh dibina dalam masa sehari tapi bagi saya dia telah buat sesuatu yang ajaib.
"Ini kerana dia seorang yang teliti dan bersemangat dan memang buat kerja 100 peratus. Dia juga buat ulang kaji dengan kerap, dengan kerja-kerja dilakukan, dia telah berjaya bawa Malaysia ke tahap lebih tinggi," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.
Di sebalik deretan keputusan tidak memuaskan dicatat Harimau Malaya awal tahun ini, Mohd Saifuddin berpandangan Pan Gon perlu diberi lebih masa.
Bekas Penolong Ketua Bahagian Pertandingan Qatar Stars League dan Bekas Perunding Teknikal Liga Profesional Oman itu berkata sewaktu proses pelantikan Pan Gon dibuat, faktor membimbing pasukan negara untuk jangka masa panjang diambil kira.
"Memang kami memikirkan untuk jangka masa panjang sebab dia (Pan Gon) merupakan Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) yang bertanggungjawab memilih jurulatih-jurulatih untuk pasukan kebangsaan Korea Selatan, kami dapat lihat kalibernya.
"Saya rasa Pan Gon adalah individu tepat untuk Harimau Malaya buat masa ini," kata Mohd Saifuddin yang menjawat jawatan Setiausaha Agung FAM selama dua tahun bermula 2021 dan meletakkan jawatannya pada 2023.
Pada Sabtu, arena bola sepak negara digemparkan dengan laporan berita bahawa Pan Gon dan barisan kejurulatihannya telah menghantar surat kepada FAM baru-baru ini dan bersedia sekiranya terpaksa meninggalkan pasukan negara andai khidmat mereka tidak diperlukan lagi.
Namun, menerusi kenyataan di Facebook rasmi FAM, Pan Gon menafikan laporan berita itu dan menyatakan komitmennya bersama pasukan sehingga kontraknya berakhir pada hujung 2025.
Pan Gon berkata misi utamanya adalah membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan tempat lebih awal ke Piala Asia 2027.
Pan Gon sedang mengalami saat sukar bersama Harimau Malaya susulan dua kekalahan berturut-turut 0-2 kepada Oman pada aksi Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 baru-baru ini sekali gus jatuh ke kedudukan ketiga dengan mengumpul enam mata.
Ketinggalan tiga mata di belakang Oman dan Kyrgyzstan yang berkongsi dua posisi teratas, Pan Gon berdepan misi wajib menang dalam baki perlawanan menentang Kyrgyzstan dan pasukan tercorot Taiwan pada Jun ini, jika mahu mencapai misi utamanya.
Dua kekalahan kepada Oman juga menyaksikan Harimau Malaya belum meraih sebarang kemenangan dalam lima aksi sejak kempen Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas setelah tewas kepada Jordan dan Bahrain sebelum seri dengan Korea Selatan pada aksi kumpulan.
-- BERNAMA