Pan-gon, Maloney perlu duduk semeja
Astro Arena
Februari 23, 2022 08:10 MYT
Februari 23, 2022 08:10 MYT
'BRAD Maloney dan Kim Pan-gon perlu duduk semeja dan berbincang.' Itulah matlamat yang perlu disempurnakan kedua-dua individu utama skuad negara dalam merencana barisan terbaik bagi mengharungi dua kempen skuad senior dan bawah 23 tahun.
Selain itu, Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Scott O'donell juga tidak menyangka risiko yang diambil dengan menamakan muka baru mampu mengundang padah buat skuad muda negara di Kejohanan AFF B23 apabila sudah ditunjuk jalan pulang awal.
Jurulatih negara, Kim Pan-gon, bakal menjadi rujukan utama Brad Maloney, dalam menentukan pemain yang akan mengisi slot Sukan SEA 2022 dan juga Piala AFC di Uzbekistan.
Ini berikutan pertembungan kejohanan di mana Pan-gon juga ada misi penting kelayakan Piala Asia 2023 Jun ini.
Tegas O'Donell, perbincangan di antara Pan-gon dan Maloney bakal berlaku sebaik pengendali kelahiran Australia itu pulang ke tanah air.
Difahamkan, nama-nama seperti Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Hadi Fayyadh Abdul Razak berada dalam radar Pan-gon selain Arif Aiman Hanapi, Luqman Hakim Shamsudin, Mukhairi Ajmal Mahadi, Akhyar Rasid dan Ramadhan Saifullah.
Kekecewaan di atas kegagalan pemain negara mara ke peringkat tertinggi Kejohanan AFF B23 tahun tetap ada.
Bagi Scott, pemain-pemain ini gagal mengambil peluang terbaik untuk menambat hati Maloney sepanjang tiga minggu bersama.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menggesa semua pihak bertanggungjawab di atas prestasi mengecewakan skuad B23 negara di Kejohanan AFF B23.
Tambah Faizal, skuad muda negara perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana pasukan ini merupakan skuad pelapis yang bakal menggantikan Harimau Malaya.