Pan-gon mahu kekal hubungan baik dengan Malaysia

Bernama
Julai 16, 2024 11:17 MYT
Pan-gon ketika mengumumkan perletakan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad negara pada sidang media khas di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini. - Foto Bernama
PETALING JAYA: Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan-gon mahu mengekalkan hubungan baik dengan skuad itu biarpun tidak lagi menjadi tunjang kepada kebangkitan prestasi skuad negara ketika ini.
Pan-gon berkata perjalanannya bersama skuad itu selama tempoh dua tahun enam bulan disifatkan cukup indah dan luar biasa selain percaya dengan potensi Malaysia untuk pergi jauh dalam saingan seterusnya di bawah kendalian Pau Marti Vicente selaku pemangku ketua jurulatih.
"Dari lubuk hati saya, saya sangat berterima kasih kepada semua orang yang telah menyokong saya dan pasukan kebangsaan. Harapan saya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia akan terus menyokong dan menggalakkan pasukan negara mencapai matlamat seterusnya iaitu layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut.
"Sekarang sebagai 'separuh' rakyat Malaysia, saya akan sentiasa menyokong pasukan bola sepak Malaysia dan berbangga dengan Malaysia ke mana sahaja saya pergi," katanya selepas sidang media khas mengumumkan peletakan jawatannya di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini hari ini.
Pengendali dari Korea Selatan berusia 55 tahun itu, berkata 'perpisahan' dengan skuad itu bukanlah satu pengakhiran berikutan telah meninggalkan legasi kejayaan bersama dan tidak mustahil buat beliau menjadi salah seorang penyokong skuad Harimau Malaya.
[TERKINI] Sidang media khas FAM
"Ia tidak boleh menjadi hari yang menyedihkan untuk anda (Malaysia). Ini bukan penghujung...jangan salah faham hubungan saya dengan Malaysia.
"Saya membina legasi saya di sini dan cinta saya tetap di sini....hubungan kami tidak putus, Saya akan menyumbang mungkin dengan cara yang lain dalam bola sepak Malaysia atau masyarakat," katanya.
Pan-gon mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta atas alasan komitmen peribadi.
-- BERNAMA
#Kim Pan-gon #letak jawatan #hubungan baik dengan Malaysia #jurulatih harimau malaya