Pan Gon kekal optimis Malaysia mampu cipta keajaiban
Bernama
Jun 7, 2024 09:50 MYT
Jun 7, 2024 09:50 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Bola Sepak Negara Kim Pan Gon percaya Harimau Malaya masih berpeluang untuk cipta keajaiban dan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia dan menempah tiket awal ke Piala Asia 2027.
Jurulatih dari Korea Selatan berusia 55 tahun itu yakin dengan keupayaan pasukannya untuk memberikan impak ketika bertemu Taiwan, pada perlawanan terakhir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada Selasa.
"Di tempat sendiri kita mempunyai kelebihan, ia bukan mudah untuk pasukan lain datang ke sini (Bukit Jalil). Masin ingat, pasukan anda (Kyrgyzstan) bolos empat gol? Jadi kami percaya kami boleh lakukan sesuatu. Siapa tahu? Sehingga ke akhir kami masih boleh melawan. Itu yang penting.
"Kami kuat di tempat sendiri, jadi kami boleh jangkakan sesuatu. Kami boleh buat sesuatu. Jika kami jaringkan lebih dari tujuh, dan anda (Kyrgyzstan) tewas 2-0 (kepada Oman), ia akan jadi satu kelebihan. Di tempat sendiri kami ada kelebihan dan akan melawan sehingga ke akhirnya," katanya.
Pan Gon berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan Malaysia seri 1-1 dengan Kyrgyzstan dalam perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Dolen Omurzakov di Bishkek, malam tadi.
Beliau berkata pertukaran pemain dan taktikal pada 10 minit terakhir pada perlawanan menentang Kyrgyzstan itu, bagi mengelakkan kekalahan pada minit-minit terakhir.
Pan Gon berkata beliau kekal dengan tindakannya itu, walaupun pemain bersedia untuk mengambil risiko dalam usaha mereka untuk menang.
Keputusan seri itu menjejaskan misi Malaysia untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia dan menempah tiket awal layak ke Piala Asia.
Malaysia kini di tempat ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata - tiga mata di belakang Kyrgyzstan, yang mempunyai kelebihan gol sebelum perlawanan terakhir, menakala Oman teratas dengan 12 mata dan telahpun layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Pada perlawanan terakhir kumpulan, Malaysia dalam keadaan bolos dua gol (-2), akan menerima kunjungan Taiwan di Bukit Jalil pada Selasa (11 Jun), manakala Kyrgyzstan dengan kelebihan enam gol (+6), akan ke Muscat bertemu Oman.
Jika Malaysia gagal ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, Malaysia juga akan hilang kelayakan automatik ke final Piala Asia 2027 dan perlu bermain dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 untuk melayakkan diri buat kali kedua ke Piala Asia.
-- BERNAMA