Pan Gon gembira dapat skuad idaman

Bernama
Disember 26, 2023 04:40 MYT
Pan Gon berkata, skuad Harimau Malaya kali ini lebih seimbang dengan gandingan pemain muda, senior dan beberapa pemain berpengalaman. - Gambar Bernama
PETALING JAYA: Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon gembira dengan pemilihan pemain dan menyifatkannya sebagai pasukan terbaik setakat ini, bagi menghadapi saingan Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bulan depan.
Menurut Pan Gon, beliau sangat berpuas hati kerana berjaya mengumpulkan semua pemain yang dimahukan kerana skuad Harimau Malaya akan berdepan tugas berat pada kejohanan berprestij yang dijadualkan pada 12 Jan hingga 10 Feb.
Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu mengakui beliau sedikit terkilan kerana mereka tidak dapat menggunakan khidmat tiga pemain pertahanan - Sharul Nazeem Zulpakar, Azam Azmi Murad dan Muhamad Feroz Baharudin.
"Saya sangat gembira kerana semua pilihan saya dapat, kecuali dua pemain Khairul Nazeem dan Azam Azmi kerana kecederaan, jadi kami tidak boleh pilih, Feroz juga kami cuba dapatkan tetapi dia ada perancangan untuk berkahwin.
"Ia adalah skuad terbaik setakat ini, saya gembira dengan pemilihan ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada hari pertama kem latihan pusat di Wisma FAM Kelana Jaya, di sini pada Selasa.
Pan Gon berkata, skuad Harimau Malaya kali ini lebih seimbang dengan gandingan pemain muda, senior dan beberapa pemain berpengalaman.
Beliau berkata, keputusan menyenaraikan beberapa pemain berpengalaman termasuk Paulo Josue, 34, Brendan Gan, 35, dan Natxo Insa, 37, untuk memastikan pasukan lebih seimbang di bahagian pertahanan dan serangan, pada masa sama dapat membimbing pemain muda dalam perlawanan berprofil tinggi.
"Diharapkan pemain berpengalaman ini dapat menggunakan pengalaman mereka untuk memberikan tunjuk ajar dan membimbing pemain muda, supaya lebih tenang dan yakin. Kita belajar sesuatu daripada kejohanan lepas iaitu kita tidak seharusnya terlalu yakin," katanya.
Sementara itu, Pan Gon berkata, sebanyak 24 pemain melaporkan diri pada hari pertama kem latihan pusat di sini.
Beliau berkata, Dion Cools akan menyertai pasukan itu pada awal Januari kerana masih mempunyai komitmen bersama kelabnya Buriram United manakala Endrick Dos Santos pula mempunyai urusan keluarga dan akan bersama pasukan dalam masa terdekat.
Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piasa Asia secara merit, akan menentang Jordan dalam aksi pembukaan Kumpulan E pada 15 Jan, diikuti Bahrain (20 Jan) dan juara dua kali yang juga pasukan pilihan Korea Selatan pada 25 Jan.
Skuad Harimau Malaya dijadual berlepas ke Doha pada 1 Jan dan akan menentang Syria dalam perlawanan persahabatan tertutup pada 8 Jan. - BERNAMA
#pemain muda #buriram united #tugas berat #kejohanan berprestij
;