'Palestin, kami bersama anda!' - Islam Makhachev kekal kejuaraan, enggan rai kemenangan di UFC

Astro Awani
Oktober 22, 2023 10:27 MYT
Makhachev, 31, selaku penyandang gelaran lightweight UFC, menumpaskan Volkanovski menerusi 'knock out' pada minit 3:06 pusingan pertama. - Foto Instagram UFC
ACARA utama UFC 294 awal pagi Ahad menyaksikan Islam Makhachev, menumpaskan Alexander Volkanovski dari Australia, sekali gus menggagalkan cubaan kali kedua lawannya itu untuk bergelar juara berganda.
Makhachev, 31, selaku penyandang gelaran lightweight UFC, menumpaskan Volkanovski menerusi 'knock out' pada minit 3:06 pusingan pertama, dalam aksi yang berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dalam pertarungan tersebut, Volkanovski rebah selepas terkena sepakan kaki kiri Makhachev ke bahagian kepalanya, seterusnya memaksa pengadil Marc Goddard menghentikan perlawanan.
Dengan keputusan itu, Makhachev melebarkan rekod profesionalnya kepada 25 kemenangan, dan satu kekalahan.
Bagaimanapun ketika ditemu bual dalam gelanggang Octagon, Makhachev memaklumkan kepada Daniel Cormier bahawa dia enggan meraikan kemenangannya itu, berikutan kezaliman yang sedang berlaku di bumi Palestin ketika ini.
"Saya tidak meraikan kemenangan hari ini kerana 'kegilaan' yang berlaku di seluruh dunia. Palestin, kami berdiri bersama anda! Hentikan ini! Hentikan ini!" katanya.
Sebagai rekod, Volkanovski, 35, menyahut cabaran untuk bertarung dengan Makhachev pada saat akhir iaitu hanya dalam tempoh 12 hari selepas Charles Oliveria dari Brazil terpaksa menarik diri akibat kecederaan.
Kali terakhir kedua-dua mereka bertarung ialah pada Februari lalu iaitu di Perth, Australia di mana Makhachev mencatatkan kemenangan menerusi keputusan sebulat suara.
Satu lagi pertarungan yang menjadi tumpuan ialah saingan middleweight di antara petarung Chechnya, Khamzat Chimaev, dengan Kamaru Usman dari Nigeria, yang berakhir dengan keputusan majoriti menyebelahi Chimaev.
Kemenangan itu kini meletakkan Chimaev di kedudukan utama untuk mencabar juara middleweight UFC Sean Strickland bagi merebut gelaran tersebut.
Seperti Volkanovski, Usman tampil pada saat akhir untuk pertarungan tersebut selepas menggantikan Paulo Costa yang mengalami kecederaan.
Dalam temu bual selepas pertarungan, Chimaev menyeru perdamaian dan menamatkan keganasan yang sedang berlaku di Gaza.
Petarung berusia 29 tahun itu juga meneruskan langkah 'walk-out' dengan laungan 'Allahuakbar'.
Chimaev yang kini memegang rekod 13 pertarungan tanpa kalah, memperoleh reputasi yang menggerunkan sejak membuat penampilan sulung di UFC pada 2020, dengan memenangi kesemua enam pertarungan dengan lima penamat.
Sementara itu, perlawanan flyweight di antara Muhammad Mokaev dengan Tim Elliott dari Amerika Syarikat, turut mencuri perhatian peminat sukan tempur.
Petarung muda dari Britain itu mengalahkan lawannya dari dari Amerika Syarikat menerusi 'submission' pada minit 3:03 pusingan ketiga.
Kemenangan itu adalah yang kelima bagi Mokaev di UFC, dan yang kesebelas dalam kariernya.
Seperti petarung-petarung lain, Mokaev turut menyatakan solidariti terhadap penduduk Palestin di Gaza.
“Saya mahu keamanan di seluruh dunia. Saudara-saudaraku di Palestin. Semoga semua kekal selamat. Adik-adik lelaki saya, anak-anak, wanita, saya hanya mahu keamanan di seluruh dunia,” ujarnya.
#Islam Makhachev #UFC 294 #Abu Dhabi #Khamzat Chimaev
;