Palace lebur rekod empat kemenangan Leicester
Astro Arena
Disember 16, 2017 23:05 MYT
Disember 16, 2017 23:05 MYT
LEICESTER 0 PALACE 3
Selepas merakamkan empat kemenangan berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester City bagaimanapun mudah diratah Crystal Palace 3-0 di Stadium King Power, sebentar tadi.
Kemenangan itu juga merupakan kejayaan sulung Palace di tempat lawan musim ini yang turut menyaksikan Christian Benteke memecah kebuntuan golnya selama 935 minit - kali terakhir dia mencetak gol adalah pada Mei lalu - sebelum membuat umpanan kepada Wilfried Zaha untuk melebarkan kedudukan kepada 2-0 menuju waktu rehat.
Tandukan Vicente Iborra selepas sejam perlawanan memberi isyarat kebangkitan juara EPL 2016 itu cuba mengatur kebangkitan pada separuh masa kedua, namun jaringan itu dibatalkan selepas Iborra terlebih dahulu didapati menolak pemain lawan.
Begitupun, usaha The Foxes semakin sukar susulan kehilangan Wilfried Ndidi akibat mengutip kad kuning kedua angkara sengaja merebahkan badan.
Bakary Sako, yang masuk menggantikan Benteke, kemudian menggegar gawang tuan rumah buat kali ketiga pada masa kecederaan, sekaligus melebarkan rekod tanpa kalah Palace kepada tujuh perlawanan sejak dibimbing Roy Hodgson.