Pahang tempah tiket ke perlawanan akhir Piala FA

Bernama
Mei 31, 2014 09:26 MYT
Kedua-dua pasukan enggan mengaku kalah dengan berbalas serangan - Foto Bernama
Pahang mengubat kekecewaan musim lepas dengan mara ke final Piala FA 2014 selepas menyingkirkan Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-0 pada separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi.
Jaringan tunggal Mohd Faizol Hussain pada minit ke-81 membawa Pahang ke final dengan agregat 2-1 selepas terikat 1-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin (Johor) 5 Mei lepas.
Pahang membalas dendam selepas disingkirkan oleh JDT dalam separuh akhir musim lepas berdasarkan peraturan gol di tempat lawan walaupun keputusan berkesudahan dengan agregat 2-2.
Dalam perlawanan yang sengit pada malam ini, kedua-dua pasukan enggan mengaku kalah dengan berbalas serangan namun gagal membolosi gawang masing-masing pada babak pertama.
Peluang menerusi sepakan percuma yang diambil oleh pemain Pahang, Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-40 gagal dimanfaatkan apabila sepakannya melepasi palang gol.
Empat minit kemudian pemain import Pahang, Zeshan Rehman berjaya menolak masuk bola ke dalam gawang lawan hasil daripada hantaran Mohd Faizol, namun jaringan itu tidak diambil kira kerana ada pemain pasukan tuan rumah yang offside.
Separuh masa kedua, Mahali Jasuli dari JDT pula berjaya menyumbat bola masuk ke dalam gawang tuan rumah pada minit ke-67 namun gol itu dibatalkan oleh pengadil, Samsudin Ibrahim selepas mendapati ada pemain JDT yang offside.
Suasana di Stadium Darul Makmur bergema dengan sorakan lebih 32,000 penyokong selepas Mohd Faizol meledakkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-81 hasil rembatan dari luar kotak penalti.
Semangat skuad Tok Gajah semakin memuncak yang terus menguasai perlawanan dengan mengatur beberapa serangan berbahaya ke kubu lawan tetapi berjaya dipatahkan oleh pertahanan lawan.
Pahang akan menentang pemenang perlawanan separuh akhir kedua antara juara bertahan Kelantan dan Felda United di Stadium Shah Alam malam ini.
#bola sepak #JDT #Piala FA
;