Pahang mara ke pentas akhir Piala FA 2018, tewaskan PKNP FC
Bernama
Julai 1, 2018 05:59 MYT
Julai 1, 2018 05:59 MYT
Pahang menewaskan PKNP FC 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA 2018 di Stadium Perak di sini malam tadi, sekali gus mara ke perlawanan akhir saingan berkenaan.
Pahang mara ke pentas akhir dengan agregat 3-2 selepas kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, 23 Jun lepas.
Beraksi di hadapan kira-kira 3,000 penyokong malam tadi, pasukan tuan rumah dikejutkan pada minit ke-32 hasil jaringan penyerang import, Austine Amutu yang bijak melencongkan bola ke penghujung kiri gawang menewaskan penjaga gol PKNP FC, Ahmad Asyraaf Omar.
Tersentak dengan gol tersebut, PKNP cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan, namun tandukan pemain pertahanan import, Ritus Krjauklis pada minit ke-39 hasil hantaran Mohamad Ezanie Mat Salleh sedikit tersasar di penjuru kiri gawang gol Pahang yang dikawal Mohd Helmi Eliza Elias.
Bersambung babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan namun Pahang berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-75 melalui penyerangnya, Nor Shahrul Idlan Talaha.
Gol tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangat tuan rumah dan hasilnya pada minit ke-80, PKNP dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, Suhaizi Shukri selepas bola terkena tangan salah seorang pemain pertahanan Pahang dalam kotak penalti.
Peluang itu tidak disia-siakan penyerang import PKNP, Franklin Anzite yang merembat kencang ke arah kanan gawang gol Pahang sekali gus menewaskan Mohd Helmi.
Gol itu menaikkan semangat pemain PKNP, namun usaha mereka untuk menyamakan kedudukan tidak berhasil apabila gol Anzite dibatalkan pada masa kecederaan babak kedua kerana ofsaid.
Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan walaupun PKNP terus melakukan serangan bertali arus ke arah gawang gol Pahang.
-- BERNAMA