Pahang bakal dapat seorang lagi pemain naturalisasi
Astro Arena
Mei 14, 2017 22:23 MYT
Mei 14, 2017 22:23 MYT
SELEPAS Kiko Insa dan Matthew Davies, Pahang bakal mempunyai seorang lagi pemain berstatus naturalisasi apabila Mohamadou Sumareh kini dikatakan dalam proses mendapatkan kerakyatan Malaysia.
Perkara itu disahkan pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh, selepas menyaksikan Tok Gajah menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.
Menurut Che Nasir, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) kini dalam proses melengkapkan dokumen berkaitan bagi membolehkan Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan pada jendela kedua perpindahan pemain Liga Malaysia, bermula esok hingga 11 Jun ini.
"Kalau ikutkan, dia sudah lama di Malaysia tetapi saya tidak tahu sejauh mana daripada segi perundangan, sama ada boleh atau tidak. Kami akan semak terlebih dahulu.
"Kami akan mengetengahkan perkara ini kepada PBNP dan jika (presiden) Tengku Abdul Rahman (Sultan Ahmad Shah) bersetuju, kami akan teruskan perancangan ini," katanya.
Mana-mana pemain yang mempunyai kerakyatan Malaysia boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan seperti ditetapkan penganjur Liga Malaysia, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).
Sementara itu, jurulatih Pahang, Dollah Salleh, amat mengalu-alukan usaha itu demi kebaikan pasukannya.
"Saya kena tanya tuan punya badan, barulah kami boleh berbincang. Bagi saya, tiada salahnya kerana dia sudah berada di Malaysia selama 11 tahun. Dia dibesarkan di sini juga, kalau boleh lagi bagus," katanya.
Sumareh, yang juga bekas pemain PDRM dan Perlis pula ketika ditemui, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut perkara itu, namun mengakui sedia berbuat demikian.
"Saya belum boleh memberi sebarang komen mengenai isu naturalisasi ini. Kalau ia sudah berlaku, barulah saya boleh beri penjelasan tetapi buat masa ini saya tidak boleh memberi komen lagi," kata Sumareh.
Pahang menewaskan Negeri Sembilan 2-1 untuk mara ke perlawanan akhir dengan agregat 3-1 dan akan bertemu Kedah dalam final Piala FA pada 20 Mei ini.