PAFA tidak batal kontrak, tidak potong gaji pegawai, pemain

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 4, 2020 15:42 MYT
Walaupun kantung kewangan PAFA turut terkesan dengan pandemik COVID-19, namun atas rasa tanggungjawab serta bantuan dan sokongan pelbagai pihak, perkara itu dapat dilaksanakan. - Gambar fail
Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) berjaya mengekalkan semua pegawai dan pemain walaupun turut terkesan dengan penularan pandemik COVID-19.
Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mereka juga tidak membuat sebarang pemotongan gaji.
Menurutnya, walaupun kantung kewangan PAFA turut terkesan dengan pandemik COVID-19, namun atas rasa tanggungjawab serta bantuan dan sokongan pelbagai pihak, perkara itu dapat dilaksanakan.
Katanya, walaupun saingan Liga Super dan Liga Premier dapat diteruskan, tetapi Piala Presiden, Piala Belia dan Malaysia Premier Futsal League Musim 2020 telah dibatalkan atas faktor keselamatan.
“Isu pembatalan ketiga-tiga pertandingan ini turut menyaksikan beberapa pasukan dan kelab di Malaysia mengambil pendekatan untuk menamatkan kontrak pegawai dan pemain mereka lebih awal sebagai langkah untuk mengimbangi kedudukan kewangan yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Kongres Tahunan Kali Ke-62 dan Kongres Luar Biasa PAFA 2020 di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Penasihat Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Padzi Paharudin.
Ahmad Faizal berkata, walaupun baki saingan Liga Malaysia musim 2020 yang bermula 26 Ogos ini akan dilangsungkan tanpa sorakan penonton, namun beliau yakin pemain-pemain pasukan Perak dan Perak 2 sudah bersedia untuk berjuang mencipta kejayaan.
Katanya, kejayaan itu sedikit sebanyak akan menjadi pengubat duka dan menghadirkan keceriaan di saat berhadapan dengan tempoh yang sangat mencabar ketika ini.
Pasukan Liga Super Perak akan memulakan semula saingan Liga Malaysia musim ini dengan bertemu Melaka United di Stadium Perak, pada 26 Ogos ini.
#Ahmad Faizal Azumu #COVID-19 #Liga Premier #Liga Super #Malaysia Premier Futsal League #PAFA #Persatuan Bola Sepak Perak #Piala Belia #Piala Presiden #Zainol Padzi Paharudin
;