PAFA pertama lantik Pengarah SPRM ketuai Jawatankuasa Integriti

Abd Razak Mohd Ali
Disember 8, 2024 15:16 MYT
Mohd Azhar (dua, kiri) menyampaikan cenderahati kepada Sivasundaram sempena Kongres Tahunan PAFA ke-63, 2024 di sebuah hotel di Ipoh pada Ahad.
IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menjadi persatuan bola sepak negeri pertama yang melantik Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi Pengerusi Jawatankuasa Integritinya.
Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pelantikan Datuk Ahmad Sabri Mohamed itu dibuat bulan lepas.
Menurutnya, selain mengetuai Jawatankuasa Intergriti, Ahmad Sabri juga dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif PAFA.
“Maknanya apabila kita bincang mengenai program atau bincang apa-apa dalam mensyuarat exco, beliau juga ada.
“Jadi beliau akan memberi nasihat dan pandangan mengenai isu yang berkaitan dengan kewangan.
“Jadi benda ni terkawal, tidaklah sesuka hati saja untuk buat (keputusan mengenai kewangan) tanpa ikut peraturan, itulah tujuannya,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Kongres Tahunan PAFA ke-63 di sini, hari ini.
Kongres yang dirasmikan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram itu turut dihadiri Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.
Dalam pada itu, Mohd Azhar berkata, kepimpinan baru PAFA mahu mengembalikan kegemilangan bola sepak yang pernah melahirkan ramai pemain kebangsaan.
Menurutnya, antara perancangan termasuklah mengadakan kejohanan di di peringkat akar umbi untuk mencari pemain yang berbakat.
Kita mahu lahirkan pemain tempatan untuk mewakili negeri kerana lazimnya mereka akan bermain lebih bersemangat demi negeri,” ujarnya.
Untuk rekod PAFA pernah digantung kira-kira dua tahun sejak 2022 kerana pelbagai kemelut dan baru sahaja dipulihkan pada Februari lalu.
#PAFA #SPRM #Perak #Jawatankuasa Integriti
;