PAFA perlu bertindak segera

Astro Arena
April 22, 2019 18:00 MYT
Presiden dan ahli majlis PAFA perlu segera duduk semeja untuk mengatasi sebarang kemelut yang sedang melanda pasukan itu dalam kancah Liga Super 2019. - Foto Stadium Astro.
Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) perlu bertindak segera bagi mengatasi sebarang kemelut yang sedang melanda pasukan itu dalam kancah Liga Super 2019.
Presiden PAFA merangkap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu perlu mengadakan segera pembedahan untuk mencari kemungkinan wujud 'masalah' dalaman atau perasaan tidak puas hati di kalangan pemain.
Agak aneh bagi sebuah pasukan yang muncul juara Piala Malaysia serta naib juara Liga Super 2018 beberapa bulan lalu kini berlegar di kelompok bawahan.
Dengan hanya satu kemenangan, seri enam dan kalah dua, Perak yang mengumpul sembilan mata kini menduduki kedudukan ke-9, liga 12 pasukan itu.
Ketika ini peminat dan pengkritik bola sepak tertanya-tanya apa gerangan yang menimpa Perak yang bagaikan hilang sengat dan taring dalam setiap perlawanan sehingga nyaris diaibkan pasukan dari Liga M4, Jerantut FA dalam saingan pusingan ketiga Piala FA baru-baru ini.
Masalah utama Perak ialah ketiadaan penyudah walaupun mencipta banyak peluang serta bermain cantik.
Pemain-pemain seperti Gilmar Jose Da Silva, Wander Luiz, Nor Hakim Hassan tampak bergelut mencari sentuhan pemusnah.
Di atas kertas Perak sepatut tidak melalui kesukaran kerana menampilkan hampir semua pemain dan jurulatih musin lalu.
Kecuali muka baru, Zac Anderson dan J Partiban pemain-pemain lain adalah muka lama dan sudah bermain bersama agak lama.
Mereka sepatutnya sudah masak dengan sistem dan corak permainan yang diinginkan jurulatih, Mehmet Durakovic.
Justeru tugas Durakovic sepatutnya mudah kerana hanya perlu melakukan 'sentuhan' bagi menggilap prestasi anak buahnya.
Mustahil prestasi menjunam Perak musim ini disebabkan kemasukkan dua muka baru itu.
Walaupun masih terlalu awal untuk membuat andaian dan tanggapan buruk tentang pasukan bergelar The Bos Gaurus itu tetapi prestasi hambar pasukan itu ketika ini meresahkan penyokong setia pasukan itu.
Justeru Presiden dan ahli majlis PAFA perlu segera duduk semeja bagi mengelak sebarang virus yang baru berputik menjadi kanser yang sukar di rawat akhirnya.
Datuk Seri Ahmad Faizal sudah tentu tidak mahu dipersalahkan sendainya Perak turun ke Divisyen 2 pada 2020 nanti.
Jika itu berlaku ia sudah tentu satu catatan sejarah buat Perak yang belum pernah tersingkir dari Liga Super sejak pengenalannya pada 2004.
#Gilmar Jose Da Silva #J Partiban #Liga M4 #Liga Malaysia #Liga Super 2019 #Nor Hakim Hassan #PAFA #Perak #Piala FA #Piala Malaysia #Wander Luiz #Zac Anderson
;