PAFA dapat talian hayat KBS, tangguh pembatalan - Exco

Bernama
Jun 17, 2023 23:12 MYT
Persatuan Bola Sepak Perak Darul Ridzuan (PAFA) yang sebelum ini bakal dibubarkan diberi penangguhan pembatalan setelah perkara itu sampai kepada pengetahuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak Darul Ridzuan (PAFA) yang sebelum ini bakal dibubarkan diberi penangguhan pembatalan setelah perkara itu sampai kepada pengetahuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata satu surat rayuan telah dikemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berhubung perkara tersebut.
"Memang sebelum ini Pesuruhjaya Sukan (PJS) telah serahkan surat pembatalan PAFA kepada Jawatankuasa PAFA dan diberikan tempoh 14 hari untuk membuat rayuan selepas tarikh surat diterima.
Jadi salah seorang pimpinan tertinggi PAFA sesi 2018-2021 yang diiktiraf PJS telah kemukakan rayuan kepada kementerian dan kita dimaklumkan mereka akan mencari solusi yang bersesuaian untuk kes ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi dan Jalinan Kolobrasi empowerNCER Akademik dekat sini hari ini.
Khairudin berkata pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan Hannah bagi mencari penyelesaian dan pertimbangan mengikut perlembagaan PJS agar PAFA tidak dibubar.
"Alhamdulillah pertemuan itu menampakkan hasil positif apabila KBS akan mewujudkan jawatankuasa bertindak yang akan dipilih pihak kementerian sendiri untuk memantau perkembangan PAFA.
Jawatankuasa bertindak itu juga akan melaksanakan semula mesyuarat agung tahunannya (AGM) untuk memilih jawatankuasa baharu dan setelah urusan terbabit selesai barulah kepimpinan yang baharu itu akan menerajui PAFA kelak," katanya.
Pada 7 Mac 2022 PAFA digantung selama enam bulan oleh PJS berikutan kemelut yang melanda badan induk bola sepak itu.
-- BERNAMA
#PAFA #penangguhan pembatalan #Persatuan Bola Sepak Perak Darul Ridzuan #KBS
;