Padang Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi akan guna rumput jenis Zeon Zoysia

Bernama
Januari 24, 2023 22:27 MYT
Kerja pemulihan tanah serta saliran air untuk mengelakkan takungan air itu akan ditanggung oleh kerajaan negeri dan pemasangan rumput oleh KBS. - Gambar/ Wikipedia
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan secara dasarnya bersetuju memilih Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk penggantian rumput padang kepada jenis Zeon Zoysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh telah membuat tawaran kepada kerajaan negeri supaya memilih satu stadium untuk berbuat demikian.
"Pelaksanaan penggantian rumput ini belum ditetapkan kerana kita perlu melihat juga jadual perlawanan Liga Super yang akan bermula tidak lama lagi.
"Kerja pemulihan tanah serta saliran air untuk mengelakkan takungan air itu akan ditanggung oleh kerajaan negeri dan pemasangan rumput oleh pihak KBS," katanya kepada Bernama.
Zeon Zoysia mempunyai sistem akar luas, pertumbuhan rizom kuat dan rumput padat tebal yang pulih dengan cepat daripada kerosakan serta diperakui dalam ujian terkawal oleh National Turfgrass Evaluation Programme (NTEP).
Media sebelum ini melaporkan Mohamad Taufek sebagai berkata Majlis Bandaraya Seremban dijangka melaksanakan kerja menaik taraf tempat duduk penonton di Stadium Tuanku Abdul Rahman pada Mac ini membabitkan kos RM1.2 juta.
-- BERNAMA
#Stadium Tuanku Abdul Rahman #Paroi #KBS #rumput Zeon Zoysia
;