Padang Stadium Nasional Bukit Jalil menyakitkan mata
Sinar Harian
Disember 8, 2023 17:20 MYT
Disember 8, 2023 17:20 MYT
KEADAAN padang Stadium Nasional Bukit Jalil terus menjadi perhatian penyokong bola sepak menjelang aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) yang akan berlangsung malam ini.
Sukan Sinar membuat tinjauan keadaan padang kurang enam jam sebelum sepak mula menyaksikan keadaan padang tidak banyak berubah berbanding pada Khamis.
Keadaan itu menyakitkan mata terutama penyokong yang akan hadir ke stadium selain dijangka turut akan menjejaskan persembahan kedua-dua pasukan malam ini.
Padang tersebut mengalami kerosakan selepas berlangsungnya konsert Coldplay pada 22 November lalu.
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberikan jaminan bahawa padang tersebut akan dapat dibaiki sebelum perlawanan akhir tersebut, namun sebaliknya berlaku.
PSM turut memohon maaf pada Khamis selepas keadaan padang itu tidak memuaskan selain mengakui tidak mempunyai masa yang cukup untuk membaiki padang ke tahap optimum selepas konsert tersebut berlangsung. - Sinar Harian