PABM tidak puas hati pencapaian pelapis kebangsaan di SUKMA 2024

Bernama
Ogos 25, 2024 05:45 MYT
Ayub berkata, penilaian semula akan dilakukan terhadap atlet pelapis yang tidak mencapai sasaran ditetapkan pada temasya dwitahunan kebangsaan berkenaan. - Gambar fail/Bernama
KUCHING: Sembilan rekod kebangsaan mungkin telah diperbaharui di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang berakhir semalam, dan pencapaian ini sepatutnya menjadi khabar gembira buat Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM).
Bagaimanapun, kecemerlangan dipamerkan badang muda negara masih belum berjaya memuaskan hati PABM terutama membabitkan pencapaian atlet pelapis kebangsaan.
Perlis dan Terengganu sama hebat apabila masing-masing meraih empat daripada 16 emas yang ditawarkan pada edisi kali ini.
Badang Perlis, Muhammad Hafizuddin Roslin paling mencuri tumpuan apabila memecah rekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam kategori 81 kilogram (kg) lelaki.
Atlet berusia 20 tahun itu melakukan angkatan snatch 141kg, mengatasi rekod milik Nasir Roslan 140kg yang dilakukan pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan 2021, sebelum melakukan dua lagi angkatan yang memadam rekod miliknya, 146kg dan terbaru 151kg.
Sementara itu, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, penilaian semula akan dilakukan terhadap atlet pelapis yang tidak mencapai sasaran ditetapkan pada temasya dwitahunan kebangsaan berkenaan.
"Kita lihat angkatan keseluruhan sebenarnya kurang memuaskan. Kita juga sebenarnya agak terkilan apabila ada beberapa pelapis kebangsaan tidak dapat emas.
"Kita akan nilai semula prestasi mereka ini sama ada perlu bersaing dalam kategori lain dan juga kenapa pencapaian mereka di SUKMA ini tidak memberangsangkan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada masa sama, PABM telah mengenal pasti beberapa atlet yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan antaranya Muhammad Hafizuddin yang menunjukkan prestasi membanggakan.
Ayub mengakui, beliau kagum dengan penyertaan atlet-atlet muda pada SUKMA kali ini yang disifatkannya mempunyai masa depan cerah sekiranya diberikan latihan mencukupi serta berterusan.
"Kalau kita lihat pada edisi kali ini ramai atlet muda berusia sekitar 15 tahun ke atas. Jadi, saya harap mereka ini tidak terhenti di SUKMA sahaja dan perlu terus diberi ruang untuk mengembangkan lagi potensi mereka," katanya. - BERNAMA
#PABM #rekod kebangsaan #mencuri tumpuan #Sukma 2024
;