PABM mahu kerajaan beri keutamaan sewajarnya kepada atlet angkat berat
Astro Arena
September 19, 2024 19:56 MYT
September 19, 2024 19:56 MYT
PRESIDEN Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, mahu atlet angkat berat negara diberikan keutamaan sewajarnya oleh kerajaan sepertimana atlet sukan lain.
Ini memandangkan atlet daripada PABM ketika ini memiliki prospek yang besar untuk menyumbangkan pingat buat negara dalam kejohanan bertaraf antarabangsa dan temasya dunia.
Ayub menambah fokus PABM selepas ini adalah untuk memastikan atlet mereka terus menyumbang pingat dalam dua temasya utama, iaitu Sukan SEA Thailand 2025 dan Sukan Komanwel 2026, termasuk mempersiapkan mereka bagi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
"Untuk Sukan Komanwel, perlu ada perancangan khas bagi memastikan negara mendapat pingat," katanya kepada wartawan Astro Arena, Raja Hisyam.
"Kami merupakan penyumbang tetap dan dalam edisi lalu, kami merupakan penyumbang dua daripada enam pingat emas.
"Jadi untuk Sukan Komanwel 2026, kami cuba untuk menyasarkan lebih pingat emas, bukan sahaja dua.
"Kerana jika kami dapat melatih mereka secara berterusan dengan jurulatih, yang kami harapkan akan mendapat jawatan tetap, kami yakin sasaran tiga hingga lima pingat emas dalam Sukan Komanwel akan tercapai," katanya. -- Stadium Astro
#Persatuan Angkat Berat Malaysia
#Ayub Rahmat
#Sukan SEA Thailand 2025
#atlet angkat berat negara diberikan keutamaan