PABM mahu jumpa KBS, MSN

Bernama
Ogos 6, 2022 05:00 MYT
Ayub memaklumkan beliau berpuas hati dengan kejayaan dua emas diraih skuad angkat berat kebangsaan di Birmingham. - Foto Facebook/Ayub Rahmat
SEPANG: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bersedia untuk bersemuka dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung permohonan agar sukan itu disenaraikan semula sebagai sukan teras negara.
Presidennya Datuk Ayub Rahmat berkata pihaknya berharap dapat mengadakan perbincangan bersama KBS dan MSN bagi memberikan gambaran jelas mengenai kedudukan semasa PABM dan usaha yang telah dilakukan dalam mengatasi isu doping.
"Kita akan bermesyuarat lepas ini bagi melihat maklum balas KBS dan MSN terhadap permohonan kita, namun tarikh bagi mengadakan perbincangan (dengan KBS dan MSN) masih belum ada. Saya rasa perlu tanya pihak mereka bila mesyuarat mahu diadakan.
"PABM sudah berdiri sendiri selama empat tahun jadi sudah tidak kisah sekiranya lagi empat tahun kita perlu berdikari, jika KBS, MSN tidak mahu mengambil kemenangan kita (di Sukan Komanwel) dengan meletakkan kembali angkat berat dalam sukan teras," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
BACA: Kepulangan wira Sukan Komanwel disambut meriah
Khamis lepas, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata akan mempertimbangkan untuk menyenarai semula angkat berat sebagai sukan teras berikutan kejayaan dua badang negara meraih pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini, namun mahu isu doping membabitkan atlet sukan itu diselesaikan terlebih dahulu.
BACA: Hapus doping sebelum senarai semula angkat berat dalam sukan teras - Ahmad Faizal
Angkat berat menjadi antara tiga sukan yang digugurkan daripada senarai sukan teras pada 2017, selain taekwando dan sepak takraw, susulan prestasi ketiga-tiga sukan itu yang merosot, selain angkat berat berdepan pelbagai masalah disiplin seperti kegagalan beberapa atletnya dalam ujian doping.
Dalam pada itu, Ayub memaklumkan beliau berpuas hati dengan kejayaan dua emas diraih skuad angkat berat kebangsaan di Birmingham.
"Komanwel edisi ini sangat menyerlah sebab ini sebenarnya team ad hoc yang ditubuh khas bagi menyertai Sukan SEA dan Sukan Komanwel dan kita berjaya buktikan sukan ini mampu membawa pulang dua emas dan satu perak.
TONTON: Komanwel 2022 | Skuad angkat berat cetus sensasi, sumbang emas kedua
TONTON: Sukan Komanwel | Aniq Kasdan sumbang pingat emas pertama
"Pada edisi 2018, kita dapat dua emas satu gangsa tetapi gangsa ditarik balik sebab ada isu doping," katanya.
Dua emas skuad kebangsaan disumbangkan Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin masing-masing menerusi kategori 55 kilogram (kg) lelaki dan kategori 61 kg lelaki, manakala Muhammad Erry Hidayat meraih perak kategori 73 kg.
-- BERNAMA
#Sukan Komanwel Birmingham #angkat berat #PABM #isu doping
;