Origina pembekal minuman rasmi Liga Malaysia - MFL
Faida Rahim
Oktober 25, 2022 14:04 MYT
Oktober 25, 2022 14:04 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia Football League (MFL) mengumumkan syarikat minuman Origina sebagai penaja baharu TM Piala Malaysia 2022 dan Liga Malaysia 2023 bermula 26 Oktober ini.
Dengan pengumuman ini, Origina akan menjadi pembekal rasmi minuman jus dan susu untuk Liga Malaysia.
Menurut Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, kehadiran Origina sebagai satu lagi penaja membuktikan industri bola sepak domestik semakin rancak selaras dengan populariti Liga Malaysia.
“Kehadiran Origina telah memberikan satu mesej penting dimana syarikat ini menaruh keyakinan tinggi kepada Liga Malaysia yang sentiasa memberikan potensi serta pendedahan positif bukan sahaja kepada produk mereka tetapi penglibatan mereka di dalam liga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalimgam berkata kerjasama MFL dan Origina bakal menjadi penanda aras yang baik khusus dari sektor ekonomi.
“Dengan lebih banyak jenama baharu yang pada tradisinya tidak sinonim dengan bola sepak sudah mula menyertai Liga Malaysia, kerjasama ini membuktikan bahawa kami mempamerkan nilai korporat sebenar yang diperlukan dalam penajaan sukan moden.
“Kami percaya kerjasama ini dapat memartabatkan bola sepak Malaysia dan mengukuhkan lagi jenama menerusi aktiviti yang akan dilaksanakan untuk mendekatkan lagi produk minuman dengan peminat kelab Liga Malaysia,” jelasnya.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif (CEO) Origina, Fatin Diana menyifatkan kerjasama pertama antara MFL dan Origina dapat meluaskan jenama itu ke seluruh pelusuk Malaysia.
“Kami berharap Origina akan menjadi minuman ideal membantu menyegarkan bukan hanya pemain bola sepak malah atlet negara agar komited semasa latihan intensif dalam meningkatkan tahap prestasi permainan mereka,” katanya.