'Orang lain sibuk bekerja, bukan berlagak seperti orang mabuk' - McGregor ditegur Ben Askren

Haider Yutim
September 12, 2019 20:50 MYT
Ben Askren (kiri) menyifatkan zaman kegemilangan Conor McGregor sudah pun berakhir. - Foto Facebook: Ben Askren/Conor McGregor
BEKAS juara dunia berganda UFC Conor McGregor sememangnya sering mengundang kontroversi termasuk kritikan dari atlet-atlet seni bela diri campuran (MMA) sendiri.
Terbaharu, 'keangkuhan' petarung dari Ireland itu mendapat perhatian petarung welterweight UFC, Ben Askren yang menyifatkan zaman kegemilangan Conor McGregor sudah pun berakhir.
Bekas juara dunia ONE Championship itu berkata, di saat petarung lain bekerja keras, McGregor hanya sibuk berlagak seperti orang mabuk dan bukannya gigih melakukan latihan seperti atlet lain.
"Ada di antara kita yang betul-betul bekerja untuk menyara hidup. Bukan berlagak seperti orang mabuk, menumbuk orang tua dan memijak telefon bimbit seperti kanak-kanak," katanya dalam posting di akaun Twitternya pada Rabu.
BACA: McGregor tumbuk warga emas, Khabib kata humban saja dalam penjara
BACA: Pecahkan telefon peminat, Conor McGregor ditahan
"@TheNotoriousMMA (McGregor) dah terlalu banyak buat duit untuk ada keinginan berlatih di peringkat juara dunia. Dia bukannya semakin muda, masa tu dah berlalu. Hanya cakap angin saja yang tinggal."
Selain itu, Askren turut menasihati McGregor agar menerima sahaja pelawaan bekas juara lightweight interim, Dustin Poirier untuk bertarung semula.
Katanya, jika McGregor tetap mahukan pertarungan ulangan (rematch) dengan juara lightweight UFC Khabib Nurmagomedov, dia pasti akan 'dibelasah' sekali lagi.
"Anda tidak mahu dibelasah sekali lagi oleh Khabib. Terima saja perlawanan dengan Dustin dan gembira sajalah. Dan layanlah orang tua dengan lebih baik," katanya dalam sebuah lagi tweet.
Terdahulu, Poirier pada Isnin lalu menyatakan hasrat mahu bertarung semula dengan McGregor, selepas bertarung dengannya lima tahun lalu.
BACA: Tewas kepada Khabib, Dustin Poirier kini mahu lawan semula McGregor
BACA: Khabib tumpaskan Poirier, kekalkan kejuaraan lightweight UFC
Petarung Amerika Syarikat itu sebelum ini memberi bayangan seperti hendak bersara dari sukan seni bela diri campuran (MMA) susulan kekalahannya pada aksi UFC 242, baru-baru ini.
Bagaimanapun, dalam posting terbaharunya di Twitter pada Selasa, Poirier berkata pertarungan ulangan (rematch) dengan McGregor 'masuk akal' buat ketika ini.
#Ben Askren #Conor McGregor #Dustin Poirier #Khabib Nurmagomedov #MMA #ONE Championship #seni bela diri campuran #TheNotoriousMMA #UFC
;