Ong Kim Swee tidak pandang rekod lama dengan Indonesia
Bernama
Ogos 25, 2017 20:22 MYT
Ogos 25, 2017 20:22 MYT
Malaysia tidah mahu merujuk rekod pertemuan terbaru dengan Indonesia bulan lepas sebagai satu ukuran tepat mengenai kekuatan pasukan itu pada pertemuan separuh akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), esok.
Malah, jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee mahu prestasi semasa Indonesia dinilai berdasarkan kemampuan pasukan lawan itu mengikat juara bertahan Thailand tanpa jaringan serta Vietnam (1-1) untuk mengekalkan rekod bersih pada peringkat kumpulan.
Pada pertemuan di Bangkok, bulan lalu, Malaysia mengalahkan Indonesia 3-0 pada pusingan kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun.
"Kami tidak boleh mengambil mudah kebangkitan skuad Garuda Muda selepas Piala AFC kerana mereka mempunyai keupayaan untuk memberi ujian hebat kepada benteng pertahanan negara esok," kata Kim Swee dalam sidang media praperlawanan, di sini hari ini.
Menurutnya, selepas Piala AFC. skuad bimbingan Lius Milla itu sudah menunjukkan peningkatan mendadak dengan menggunakan khidmat beberapa pemain baharu yang tidak diturunkan semasa di Bangkok.
"Kali ini mereka membawa beberapa muka baharu yang tidak bermain sewaktu di kelayakan AFC dan kita juga tahu Indonesia mempunyai seorang pemain yang sebelum ini pernah beraksi bersama kelab terkenal Eropah, Ajax Amsterdam," katanya.
Malaysia turut memiliki rekod cemerlang pada saingan peringkat kumpulan apabila memenangi kesemua empat perlawanan untuk muncul juara Kumpulan A manakala Thailand dalam Kumpulan B.
Bagaimanapun, Kim Swee optimis kelebihan berdepan lebih 60,000 sorakan padu penyokong Malaysia di Stadium Shah Alam malam esok akan memberi motivasi kepada anak buahnya untuk berjuang berhabis-habisan untuk merelealisasikan impian menggapai ibu segala pingat KL2017.
Dalam pada itu, skuad Indonesia dalam keadaan tertekan selepas kapten Hansamu Yama Pranata tidak dapat bermain esok kerana digantung satu perlawanan akibat mengutip kad kuning kedua dalam aksi menentang Kemboja semalam.
Meskipun ketiadaan beliau serta pemain tengah, Muhammad Hargianto dan penyerang, Marinus Mariyanto Wanewar, Hansamu percaya ia bukan masalah besar untuk misi memburu gelaran juara di sini.
"Kekuatan kami tidak terletak kepada satu atau dua pemain tetapi satu pasukan dan tugas kami di sini adalah sama, untuk menjadi juara," katanya.
-- BERNAMA
#BangkitBersama
#bola sepak
#Indonesia
#kitasamahero
#KL2017
#Malaysia
#Ong Kim Swee
#shah alam
#stadium shah alam
#Sukan SEA
#SukanSEA