ONE Championship lancar siri kejohanan e-sukan terbesar Asia

Haider Yutim
November 7, 2018 19:52 MYT
Kejohanan ONE eSports itu merupakan inisiatif ONE Championship dalam membantu mengembangkan lagi industri sukan milenial itu di Asia.
Penganjur terbesar kejohanan seni bela diri campuran (MMA) di Asia, ONE Championship kini tampil pula dengan siri kejohanan sukan elektronik (e-sukan).
Kejohanan ONE eSports itu merupakan inisiatif ONE Championship dalam membantu mengembangkan lagi industri ‘sukan milenial’ itu di Asia.
ONE eSports merupakan kerjasama di antara organisasi itu dengan Dentsu Inc dari Jepun, serta syarikat gaming Razer dan syarikat telekomunikasi Singtel dari Singapura.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Chatri Sityodtong berkata, ONE Championship komited untuk menganjur kejohanan e-sukan yang sama hebatnya dengan kejohanan MMA yang diadakannya selama ini.
“Kami melihat ada keserasian semulajadi antara seni bela diri dan peminat e-sukan di Asia serta peluang untuk membawa mereka bersama di bawah satu bumbung dalam acara sukan ‘live’.
“Misi kami adalah untuk meraikan wira-wira e-sukan Asia di pentas global. Penubuhan ONE eSports menjadikan ONE Championship pengeluar terbesar sukan milenial di Asia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
ONE Championship dilaporkan akan melabur sebanyak AS$50 juta (RM108.1 juta) untuk siri kejohanan tersebut yang akan diadakan seiring dengan kejohanan-kejohanan MMA yang dijadualkan tahun depan.
Selain itu, ONE eSports akan diterajui bersama oleh bintang MMA dari Amerika Syarikat Demetrious Johnson selaku ‘Chief Brand Ambassador’ mereka.
E-sukan merupakan sukan yang berkembang pesat dan dimainkan oleh jutaan peminat di seluruh dunia, di mana pertandingan-pertandingan e-sukan telah pun mendapat penerimaan arus perdana.
Asia menjadi rantau yang menerajui perkembangan sukan ini.
Kerajaan Malaysia dalam Belanjawan 2019 baru-baru juga ini telah memperuntukkan RM10 juta kepada pembangunan e-sukan di negara ini.
Malah, sukan ini juga telah mendapat sokongan penuh dari Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu mengangkat e-sukan ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau juga berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab e-sukan di Asia, yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda terutama sekali bidang komputer.
#Asia #Chatri Sityodtong #Demetrious Johnson #dentsu #e-sukan #esports #Esukan #MMA #ONE Championship #ONE Esports #razer #SingTel #Syed Saddiq #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
;