One Championship: Kabilan buat penampilan pertama menakjubkan di Bangkok
Bernama
Julai 16, 2023 14:04 MYT
Julai 16, 2023 14:04 MYT
BANGKOK: Atlet Muay Thai Malaysia Kabilan Jelevan Thiagarajan berjaya membuat penampilan pertama yang menakjubkan di One Championship, selepas menang menerusi 'technical knockout (TKO) di Stadium Boxing Lumpinee di Bangkok dan membawa pulang 350,000 baht (RM45,817) sebagai bonus prestasi.
Kabilan, 23, atlet yang berasal dari Sarawak, menjatuhkan lawannya Sulaiman Looksuan dari Myanmar dengan pukulan tangan kanannya, memperoleh TKO pada minit 2:51 pusingan pertama kategori flyweight Muay Thai, pada Jumaat malam.
"Semua atlet Muay Thai mengidamkan untuk dapat bertarung di One Championship. Ini impian saya sejak saya mula berlatih pada usia 14 tahun.
"Saya bekerja keras untuk mencapai impian ini. Saya menjalani latihan intensif hampir dua bulan sebelum penampilan sulung di One Championship ini.
"Saya berlatih lapan jam sehari iaitu empat jam di waktu pagi dan empat jam lagi di sebelah petang, enam hari seminggu. Semua usaha ini telah membuahkan hasil yang terbaik," katanya kepada Bernama.
Kabilan dari Rentap Muay Thai Gym di Kuching, Sarawak mengucapkan terima kasih kepada jurulatihnya, Addy Singpayak, kerana memastikan latihannya mengikut perancangan.
Sementara itu, seorang lagi atlet Muay Thai Malaysia Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, menang dengan keputusan sebulat suara hakim, selepas mengharungi tiga pusingan menentang Samurai Seeopal dari Thailand.
Ini merupakan kemenangan ketiga remaja berusia 16 tahun itu, dalam One Championship.
Johan yang lebih dikenali sebagai 'Jojo' yang berhadapan lawannya berusia 18 tahun, mendominasi dari awal pusingan pertama dengan kombinasi pelbagai pukulan dan memberikan tekanan berterusan kepada lawannya.
Bagaimanapun, Samurai bangkit dan memberikan tentangan pada pusingan kedua, sebelum Johan menguasai semula pada pusingan akhir sebelum hakim memberikan keputusan kemenangan sebulat suara kepadanya.
-- BERNAMA