Oliveira berpeluang buru gelaran juara Moto3

Bernama
Oktober 25, 2015 15:29 MYT
OLIVEIRA: Perburuan gelaran juara masih berterusan dan walaupun ia agak sengit, saya tetap akan berjuang hingga ke akhir. -AFP
Penunggang Red Bull KTM Ajo rider, Miguel Oliveira mencatat kemenangan kali kelimanya untuk musim ini dalam perlumbaan kelas Moto3 Grand Prix Motosikal Malaysia 2015 penuh mendebarkan di Litar Sepang di sini hari ini.
Oliveira mencatat masa 40 minit dan 32.277 saat, hanya 0.089s di hadapan rakan sepasukannya, Brad Binder dari Afrika Selatan, manakala penunggang Sepanyol Jorge Navarro dari pasukan Galicia 0,0' menduduki tempat ketiga dengan masa 40:33.550s.
Berikutan kemenangan itu, penunggang Portugis berusia 20 tahun ini berpeluang untuk terus memburu gelaran juara apabila pesaing terdekatnya, Danny Kent dari Britain, sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.
"Saya tak dapat sebarang maklumat tentang Danny (Kent). Saya tak ambil peduli mengenainya kerana hanya ingin menjulang bendera juara.
"Perburuan gelaran juara masih berterusan dan walaupun ia agak sengit, saya tetap akan berjuang hingga ke akhir," kata Oliveira.
Perebutan gelaran juara antara Oliveira dan Kent akan berterusan pada pusingan akhir musim ini di Litar Valencia, Sepanyol pada 8 Nov.
Berikutan pencapaiannya pada perlumbaan hari ini, Kent perlu mendahului dengan 24 mata pada pusingan akhir untuk membolehkannya menjadi juara.
Penunggang Malaysia, Zulfahmi Khairuddin daripada pasukan Drive M7 SIC menarik diri daripada perlumbaan setelah hanya beraksi dalam lima daripada 18 pusingan.
Rakan sepasukannya, Jakub Kornfeil dari Republik Czech menduduki tempat ketujuh dengan masa 40:33.807s.
#litar sepang #Miguel Oliveira #Moto3 Grand Prix #Motosikal Malaysia
;