Olimpik Tokyo: Wartawan asing kecewa tiada kebenaran liputan semasa lawatan

Astro Awani
Julai 20, 2021 21:58 MYT
Wartawan asing kali ini dibataskan oleh peraturan COVID-19 ketat, antaranya hanya boleh bergerak dari hotel ke gelanggang Olimpik sahaja. - Gambar/ REUTERS
WARTAWAN asing yang membuat liputan Sukan Olimpik Tokyo kecewa apabila menyedari 'peluang' untuk melaporkan perkara di luar 'gelembung media' hanya lawatan bersiar-siar jauh dari orang ramai.
Harapan mereka untuk melangkah keluar dan melaporkan tentang Tokyo di luar temasya pada Isnin tidak kesampaian apabila dibawa ke beberapa tempat pelancongan yang lengang selama dua jam.
Mereka antara lain dibawa melawat Muzium Nasional Tokyo dan Taman Hama-Rikyu, iaitu sebuah vila di tepi sungai untuk pembesar zaman dahulu.
"Kami baru saja pergi ke muzium nasional tanpa mendapat izin untuk mengambil gambar, jadi itu tidak berguna bagi media," kata wartawan Finland, Heikki Valkama.
Mikai Asai dari Lembaga Pelancongan Jepun bagaimanapun menjelaskan, idea itu adalah untuk memberi pemberita sedikit masa berehat dengan menjelajah ibu kota dengan selamat.
"Oleh kerana banyak sekatan, (wartawan) tidak dibenarkan keluar untuk mengambil gambar. Tetapi kami ingin berkongsi budaya Jepun agar semua orang dapat menikmatinya sebagai sebahagian dari keramahan kami," katanya.
Ketika lawatan itu, kumpulan media tempatan Jepun, mengambil peluang meninjau pematuhan perintah kuarantin membabitkan pengunjung.
Wartawan asing kali ini dibataskan oleh peraturan COVID-19 ketat, antaranya hanya boleh bergerak dari hotel ke gelanggang Olimpik sahaja, selain dipasang peranti penjejakan GPS, dan tidak dibenar mewawancara orang biasa.
Dengan pembukaan rasmi Olimpik pada Jumaat, penganjur menegaskan mereka bersifat adil untuk memerangi COVID-19 di Jepun dengan semua langkah terbabit.
Namun, media asing memprotes dan mendakwa bahawa mereka menyekat kebebasan akhbar, lapor agensi Kyodo.
#Olimpik Tokyo #media asing #kecewa #gelembung media #COVID-19 #lawatan #lengang #tiada kebenaran
;