Olimpik Tokyo: Skuad memanah negara lepasi pusingan kelayakan
Astro Awani
Julai 23, 2021 15:53 MYT
Julai 23, 2021 15:53 MYT
KUALA LUMPUR: Pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad membuktikan kehebatannya selepas menamatkan pusingan kelayakan kategori recurve individu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini.
Dia berjaya menempatkan diri di kedudukan ke-20 dengan catatan 661 mata hasil bidikan di Lapangan Memanah Yumenoshima Park, Jepun, lapor Twitter @TeamMsia.
Naib juara dunia 2019 itu bakal menentang Antti Vikstrom dari Finland yang berada di kedudukan ke-62 dunia pada 28 Julai nanti.
Dia dan pemanah wanita, Syaqiera Mashayikh membuka tirai perjuangan Malaysia memburu pingat emas sulung dalam temasya edisi ke-32 itu yang bakal membuka tirai secara rasmi malam ini.
Sementara itu, rekod cemerlang turut dicapai Syaqiera apabila berjaya memecahkan rekod terbaik peribadinya dalam pusingan kelayakan acara recurve individu wanita, temasya itu.
Lapor Astro Arena, atlet berusia 21 tahun itu, yang merupakan pemanah wanita ketiga negara pernah layak ke temasya sukan terbesar dunia berkenaan, mencatatkan 630 mata untuk menamatkan saingan di tempat ke-43 daripada 64 pemanah.
#Sukan Olimpik Tokyo
#Olimpik Tokyo
#olimpik 2020
#memanah
#team malaysia
#Olimpik
#Khairul Anuar Mohamad
#Syaqiera Mashayikh
#skuad Olimpik