Olimpik Tokyo: Pernah terkandas jalani latihan di Melaka, Diaz sumbang emas pertama Filipina

Sinar Harian
Julai 26, 2021 00:14 MYT
Anak pemandu beca yang berkhidmat dengan Tentera Udara Filipina itu gigih berlatih di sebuah rumah di Jasin, Melaka sebagai persediaan menghadapi temasya Olimpik Tokyo. - Gambar/ Reuters
ATLET angkat berat, Hidilyn Diaz melakar sejarah tersendiri apabila muncul atlet pertama Filipina memenangi pingat emas pada temasya Sukan Olimpik.
Diaz yang kini berusia 30 tahun mengucup kilauan emas apabila memenangi kategori 55 kilogram (kg) wanita pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Tokyo International Forum pada Isnin.
Kejayaan itu menyaksikan Diaz berjaya memperbaiki pencapaian peribadi terbaiknya, sekali gus meletakkan pemegang rekod dunia dari China, Liao Qiuyun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Sebelum ini, Diaz muncul atlet wanita pertama Filipina memenangi pingat Olimpik apabila menamatkan kemarau 20 tahun negara itu dengan meraih perak pada edisi Rio 2016.
Kisah Diaz pernah mencuri tumpuan apabila dia 'tersadai' di Melaka gara-gara pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak awal tahun lalu.
Diaz terpaksa tinggal di negara ini sejak Februari tahun lalu kerana pandemik COVID-19, namun situasi itu tidak merencatkan perancangannya untuk persiapan memburu emas Olimpik Tokyo 2020.
Anak pemandu beca yang berkhidmat dengan Tentera Udara Filipina itu gigih berlatih di sebuah rumah di Jasin, Melaka sebagai persediaan menghadapi temasya Olimpik Tokyo.
Pada mulanya, Diaz berlatih di gimnasium berhampiran, namun selepas larangan pergerakan diketatkan, dia memindahkan peralatan latihan ke tempat letak kereta di rumah berkenaan.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN: Diaz sumbang emas pertama Filipina
#Hidilyn Diaz #Olimpik Tokyo #angkat berat #Melaka #terkandas #latihan di melaka
;