Olimpik Tokyo: Jinq En pecah rekod kebangsaan, Welson ucap selamat tinggal

Astro Awani
Julai 25, 2021 22:01 MYT
Jinq En akan bersaingan dalam acara 200m kuak dada wanita pada Rabu ini. - Gambar/ Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Perenang negara, Phee Jinq En, memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) kuak dada wanita dalam pusingan saringan kedua Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini.
Astro Arena melaporkan, dalam saingan tujuh perenang itu, Jinq En menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 1:08.40, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan 1:08.50 yang dilakukannya dalam Sukan SEA Filipina pada 2019.
Seterusnya, Jinq En akan bersaingan dalam acara 200m kuak dada wanita pada Rabu ini.
Sementara itu, Bernama melaporkan, bagi acara 100m kuak dada, Jinq En dan Welson Sim Wee Sheng gagal mara ke pusingan seterusnya hari ini.
Meskipun menamatkan saingan di tempat kedua dalam saringan dua acara 100m kuak dada wanita di Pusat Akuatik Tokyo namun masa yang dicatatkan oleh Jinq En tidak berada dalam kelompok 16 terbaik untuk mara ke peringkat separuh akhir, esok (Isnin).
Jinq En menamatkan saingan di tempat kedua dengan mencatatkan 1 minit 08.40 saat (s) di belakang pelumba Slovakia Andrea Podmanikova (1:08.36s) manakala perenang Samoa Amerika Tilali Scanlan (1:10.01s) di tempat ketiga.
Atlet berusia 23 tahun itu menamatkan saingan di tempat ke-29 daripada keseluruhan 43 peserta.
Sementara itu, Welson terpaksa melupakan Olimpik Tokyo lebih awal apabila sekali lagi gagal menyerlah dalam saingan 200m gaya bebas lelaki selepas mencatatkan 1:49.24s untuk menduduki tempat ketujuh dalam saringan dua.
Perenang Romania David Popovici memenangi saingan selepas mencatatkan 1:45.32s, diikuti Velimir Stjepanovic dari Serbia (1:46.26s) di tempat kedua dan perenang Jerman Jacob Heidtmann di tempat ketiga (1:46.73s).
Perenang berusia 24 tahun dari Sarawak itu menduduki tempat ke-32 daripada 39 peserta keseluruhan.
Pada Sabtu, Welson gagal melayakkan diri ke peringkat akhir acara 400m gaya bebas lelaki selepas mencatatkan 3:58.25s untuk menduduki tangga ke-33 daripada 36 perenang keseluruhan.
#Olimpik Tokyo #kem renang #Malaysia #Phee Jinq En #rekod baharu #rekod kebangsaan #Welson Sim Wee Sheng
;