Olimpik Tokyo: Jeremiah mungkin gagal ke final all around gimnastik artistik
Bernama
Julai 24, 2021 13:43 MYT
Julai 24, 2021 13:43 MYT
TOKYO: Misi atlet gimnastik artistik negara Jeremiah Loo Phay Xing untuk layak ke pusingan akhir acara all-around lelaki Olimpik Tokyo, menjadi pudar apabila beliau sekadar berkedudukan ke-19 daripada 20 gimnas dalam pusingan kelayakan subdivision satu, di sini hari ini (Sabtu).
Atlet berusia 23 tahun itu mengutip sejumlah 67.498 mata selepas kesemua enam displin, pada hari pembukaan gimnastik artistik yang berlangsung di Pusat Gimnastik Ariake.
Walaupun bermula dengan baik pada displin senaman lantai dengan mendapat 13.100 mata, atlet berasal dari Pulau Pinang itu gagal meneruskan momentumnya apabila persembahannya mula menurun pada lima displin yang lain.
Jeremiah mendapat 12.266 mata dalam displin kekuda berpelana dan 7.700 pada gelang roman yang merupakan catatan mata paling rendahnya, diikuti 12.466 mata pada lombol, 10.200 pada palang imbangan dan 11.766 pada acara palang tunggal.
Nagorny Nikita dari Federas Russia mengungguli pusingan ini dengan mengumpulkan 87.897 mata manakala dua atlet dari China, Xiao Ruoteng (87.732 mata) dan Sun Wei (87.298 mata) masing-masing berkedudukan kedua dan ketiga.
Hanya 24 atlet dengan maksimum dua wakil dari setiap negara akan layak ke pusingan akhir all around, yang dijadualkan berlangsung pada Rabu (28 Julai).
Pusingan kelayakan subdivision dua dan tiga, juga akan berlangsung hari ini.
Selain Jeremiah, seorang lagi gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi dijadualkan untuk membuat penampilan sulungnya esok (Ahad) pada pusingan kelayakan all around wanita.
-- BERNAMA
#Tokyo
#Olimpik
#gimnastik artistik
#gimnas
#atlet
#Jeremiah Loo Phay Xing
#all-around lelaki
#Nagorny Nikita