Olimpik Tokyo: IOC bimbang kes tarik diri dua atlet judo enggan lawan wakil Israel

Astro Arena
Julai 27, 2021 16:47 MYT
IOC menegaskan sebarang bentuk 'pelanggaran terang-terangan' dalam temasya sukan itu akan diuruskan dengan tegas. - Foto Stadium Astro
JAWATANKUASA Olimpik Antarabangsa (IOC) menegaskan sebarang bentuk 'pelanggaran terang-terangan' dalam temasya sukan itu akan diuruskan dengan tegas selepas atlet Israel, dengan secara kontroversi, tidak mempunyai lawan untuk dihadapi dalam pusingan 32.
Wakil Algeria, Fethi Nourine, digantung oleh Persekutuan Judo Antarabangsa dan diarahkan untuk meninggalkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas menarik diri kerana enggan bertemu atlet Israel, Tohar Butbul, dalam acara 73 kilogram.
Nourine sepatutnya berdepan wakil Sudan, Mohamed Abdalrasool, dalam pusingan kalah mati untuk bertemu Butbul tetapi mengabaikan misinya di Tokyo demi memberikan sokongan penuh buat Palestin.
Abdalrasool, yang mendapat laluan percuma untuk bertemu Butbul semalam, turut gagal menunjukkan dirinya dalam pertarungan itu. Tiada sebarang sebab diberikan walaupun disahkan dia ada menyertai sesi timbang berat menjelang perlawanan itu.
BACA: Tokyo 2020: Seorang lagi atlet judo tarik diri enggan bertemu wakil Israel
Butbul kemudian diberikan laluan percuma dan menamatkan saingan itu di tangga ketujuh keseluruhan.
Bercakap dalam sidang media hari ini, Pengarah Solidariti IOC, James Macleod, berkata: "Sudah pasti IOC sentiasa bimbang dengan kes seperti ini dan sedang menilainya secara dekat.
"Jika terdapat pelanggaran secara terang-terangan daripada piagam olimpik, IOC akan megambil setiap langkah yang diperlukan dalam hal ini.
"IOC sedang menilai setiap kes yang diutarakan kepada kami. Kami akan menyiasat setiap kes, walaupun daripada pihak ketiga.
"IOC amat menyedari bahawa tiada tiada sebarang diskriminasi, autonomi, kesemua prinsip dalam piagam Olimpik, adalah perkara yang tidak boleh kami abaikan dan kami bersikap tegas terhadap perkara-perkara seperti itu," katanya.
#Sukan Olimpik #Tokyo #Olimpik #Algeria #Israel #Palestin #Sukan Olimpik Tokyo
;