Olimpik Tokyo: Harapan raih pingat pertama tidak kesampaian, ini rangkuman kontinjen Malaysia hari ini
Bernama
Julai 27, 2021 23:49 MYT
Julai 27, 2021 23:49 MYT
TOKYO: Suasana mengecewakan menyelubungi kontinjen Malaysia pada hari kelima temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, apabila acara terjun yang menjadi sandaran untuk menyumbangkan pingat pertama buat negara pada temasya sukan berkenaan, gagal menepati sasaran.
Malah, gandingan penerjun Pandelela Rinong-Leong Mun Yee yang menjadi harapan menyumbangkan kilauan pingat sulung itu, sekadar menamatkan cabaran dalam acara 10 meter platform seirama wanita di kedudukan kelapan, pada saingan di Pusat Akuatik Tokyo, petang tadi.
Pasangan penerjun negara hanya meraih 277.98 mata, sekali gus menyaksikan Malaysia gagal mempertahankan pingat perak yang dimenangi pada edisi Rio 2016, menerusi gandingan Pandelela dan Cheong Jun Hoong.
Di Lapangan Memanah Yumenoshima Park, cabaran Syaqiera Mashayikh pada temasya di Tokyo itu berakhir, selepas terkandas pada pusingan pertama acara recurve individu wanita.
Selepas mencipta rekod panahan peribadi terbaik 630 mata pada pusingan penentuan ranking acara berkenaan Jumaat lepas, Syaqiera, 20, ditunjukkan jalan keluar oleh pemanah yang mewakili Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC) Elena Osipova, dengan keputusan 4-6.
Dalam pada itu, kem badminton negara kembali ceria selepas berdepan episod kekecewaan berikutan kekalahan demi kekalahan, pasangan beregu negara.
Turun beraksi dengan misi wajib menang di Musashino Forest Sport Plaza, beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menumpaskan pasangan Kanada Jason Ho-Shue-Nyl Yakura, 21-15, 21-13, dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, sekali gus mara ke suku akhir.
Beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, yang sebelum ini tumpas dalam dua aksi awal peringkat kumpulan, akhirnya berjaya meraih kemenangan tunggal pada temasya di Tokyo selepas mengatasi pasangan Great Britain, pagi ini.
Mei Kuan-Meng Yean yang menghuni ranking ke-11 dunia dan merupakan wakil tunggal negara dalam acara itu, tidak berdepan masalah menundukkan gandingan Chloe Birch-Lauren Smith 21-19, 21-16.
Pemain perseorangan wanita negara Soniia Cheah pula, memperoleh kemenangan percuma apabila lawannya, Laura Sarosi dari Hungary menarik diri akibat kecederaan.
Penarikan diri itu disahkan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Nazifuddin Najib dan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann, ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Soniia perlu mencatatkan kemenangan ke atas pemain nombor enam dunia Ratchanok Intanon dari Thailand esok, untuk mara ke peringkat kalah mati. Hanya juara bagi setiap kumpulan layak untuk beraksi di pusingan kedua.
Sementara itu, atlet pelayaran negara Khairulnizam Mohd Afendy mencatat keputusan positif dalam setiap tiga perlumbaan acara Laser Standard Lelaki, selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-29 (perlumbaan keempat), sebelum menduduki tempat ke-18 dan ke-13, masing-masing dalam perlumbaan kelima dan keenam.
Selepas enam siri perlumbaan di Enoshima Yacht Harbour, pemenang pingat perak Sukan Asia 2014 dan 2018 itu, kini berada di kedudukan ke-26 daripada 35 peserta, dengan mengumpul 99 mata bersih.
Dalam acara Laser Radial wanita, atlet muda sensasi negara Nur Shazrin Mohamad Latif, terus bergelut untuk mengulangi prestasi cemerlang dalam perlumbaan pertama pada Ahad lepas, selepas menamatkan perlumbaan kelima dan keenam di kedudukan ke-30 dan ke-34, hari ini.
Keputusan itu menyaksikan Nur Shazrin, 23, jatuh tujuh anak tangga di kedudukan ke-24 mengumpul 105 mata bersih, dengan mempunyai baki empat perlumbaan selepas ini.
Acara pelayaran esok bakal menyaksikan penampilan Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali dalam Perlumbaan Wanita 1 dan 2 acara International 470, manakala perenang Phee Jinq En akan turun bersaing bagi saringan pertama 200 meter Kuak Dada Wanita, di Pusat Akuatik Tokyo.
Selain itu, turut beraksi adalah jaguh memanah negara Khairul Anuar Mohamad, yang dijadual membuat perhitungan menentang pemanah Finland Antti Vikstrom, pada aksi pertama pusingan kalah mati acara Individu Recurve Lelaki di Lapangan Memanah Yumenoshima.
Dalam pada itu, jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, dijangka berdepan tugas mencabar apabila turun menentang bintang Perancis Brice Leverdez, esok untuk aksi terakhir peringkat kumpulan untuk layak ke pusingan kalah mati.
-- BERNAMA
#Olimpik Tokyo
#rangkuman
#badminton
#terjun
#Pandelela Rinong
#Leong Mun Yee
#memanah
#pelayaran
#laser radial