Olimpik Tokyo: Aksi palang imbangan cabaran buat Farah Ann

Bernama
Julai 20, 2021 17:53 MYT
Jika Farah Ann berjaya melepasi ujian di atas palang imbangan, keputusan lebih baik mampu diperoleh gimnas negara pada penampilan sulungnya di pentas Olimpik Tokyo. - Gambar fail/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: Berbaki kurang seminggu sebelum mempamerkan aksi di pentas Olimpik Tokyo, ketua jurulatih gimnastik artistik negara Ng Shu Wai mengakui Farah Ann Abdul Hadi masih bergelut dalam mencari rentak ketika berada di atas palang imbangan.
Beliau berkata jika Farah Ann berjaya melepasi ujian di atas palang imbangan, keputusan lebih baik mampu diperoleh gimnas negara pada penampilan sulungnya di pentas Olimpik Tokyo.
"Aksi Farah Ann di Olimpik Tokyo bergantung kepada palang imbangan. Saya hanya berharap Farah Ann tidak membuat sebarang kesilapan besar dalam disiplin ini," katanya ketika dihubungi Bernama.
Selain beraksi dalam disiplin palang imbangan, atlet berusia 27 tahun itu juga beraksi dalam disiplin melombol, palang bertingkat dan senam lantai dalam acara all-around.
Shu Wai berkata beliau dapat merasakan atlet di bawah bimbingannya itu kemungkinan sedikit gementar memandangkan ini adalah kali pertama beraksi di temasya sukan berprestij itu.
"Ini adalah temasya sukan terbesar pertamanya selepas Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.
"Wajahnya menggambarkan dengan jelas beliau gementar tapi saya berharap Farah Ann dapat mengatasinya dan menikmati temasya itu, tambahan pula ia berlangsung tanpa penonton," katanya.
Sementara itu, bekas Olimpian negara gembira apabila Farah Ann berlepas awal ke Jepun kerana ia dapat membantu atlet berkenaan menyesuaikan diri dengan suasana temasya.
Meskipun tidak dapat ke Jepun, Shu Wai sentiasa berhubung rapat dengan Farah Ann dan mendapat bantuan daripada jurulatih gimnastik artistik kebangsaan Natalya Sinkova untuk memberikan motivasi kepada anak buahnya dalam memenangi perhatian juri.
Walaupun tidak menetapkan apa-apa target untuk Farah Ann, namun jurulatih berusia 35 tahun itu berharap gimnas negara dapat mengutip lebih daripada 52 mata kerana keputusan itu memungkinkan Farah Ann layak ke pusingan seterusnya.
Farah Ann mencipta sejarah tersendiri muncul gimnas wanita pertama layak ke Sukan Olimpik selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejohanan Gimnastik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.
Beliau muncul gimnas ketiga Malaysia layak ke Olimpik selepas Au Li Yen pada edisi 2000 (Sydney) dan Shu Wai pada 2004 (Athens).
Selain Farah Ann, turut ke pentas Olimpik Tokyo, gimnas lelaki negara Jeremiah Loo Phay Xing yang juga membuat penampilan sulung selepas layak dalam acara all-around individu lelaki bulan lepas.
Menurut Persekutuan Gimnastik Malaysia, kejayaan Jeremiah ke Tokyo adalah berdasarkan keputusan di Kejohanan Gimnastik Dunia 2019 di Stuttgart.
Gimnastik artistik akan membuka gelanggang pada 24 Julai hingga 3 Ogos di Pusat Gimnastik Ariake, Tokyo. Sukan Olimpik berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos.
-- BERNAMA
#Olimpik #Tokyo #Farah Ann #gimnastik #palang imbangan #penampilan sulung #kesilapan besar
;