Olimpik Rio: Tandas tersumbat, kontinjen Australia tidak mahu masuk perkampungan sukan
Agensi
Julai 24, 2016 06:52 MYT
Julai 24, 2016 06:52 MYT
Kontinjen Australia tidak mahu memasuki perkampungan sukan Olimpik Rio buat masa ini selagi pihak tuan rumah tidak menangani masalah ‘saluran tandas yang tersumbat, kebocoran paip dan kerja wayar yang terdedah’.
Dengan kurang daripada dua minggu temasya itu bermula, ketua delegasi Australia Kitty Chiller berkata tuan rumah perlu memperbetulkan keadaan itu terlebih dahulu, lapor agensi berita ABC.
Chiller menambah, pihaknya akan menilai semula situasi itu selepas banyak kali mendesak Jawatankuasa Antarabangsa Olimpik agar segera memperbetulkan masalah yang diadukan.
“Kami telah membuat pemeriksaan pada Sabtu untuk melihat sama ada ia sedia diduduki para atlet.
“Namun, sistemnya gagal. Air mengalir dari dinding, terdapat juga bau gas yang kuat di sesetengah apartmen dan berlaku litar pintas pada wayar elektrik,” ujarnya.
Chiller menambah, pasukan Olimpik dari British dan New Zealand juga menghadapi masalah yang sama di penginapan masing-masing.
Delegasi Britain juga menyedari perkara itu, namun memilih untuk tidak terlalu mengkritik secara keras kerana mendakwa masalah yang dikenal pasti terlalu kecil.
Pekerja penyelenggaraan tambahan dan lebih 1,000 pekerja pembersih telah dikerah untuk membetulkan situasi berkenaan, namun menurut Chiller, kerja-kerja membetulkan saluran paip masih belum dilakukan.