Olimpik Paris: RTG ikrar beri sokongan penuh kepada Aniq Kasdan - Hannah

Bernama
Ogos 8, 2024 05:30 MYT
Hannah yakin dengan sokongan padu RTG, atlet berusia 22 tahun itu berpotensi untuk menjadi pencabar utama untuk pingat emas di Olimpik Los Angeles 2028 (LA28). - FB Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berikrar program Road To Gold (RTG) akan memberi sokongan penuh kepada atlet angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan susulan prestasi memberangsangkannya di Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam catatan Facebook hari ini, Hannah menyatakan keyakinannya bahawa dengan sokongan padu daripada RTG, atlet berusia 22 tahun itu berpotensi untuk menjadi pencabar utama untuk pingat emas di Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
"Walaupun baru sahaja dimasukkan ke dalam program Road To Gold (RTG) pada bulan November lalu, beliau sudah menunjukkan peningkatan yang amat ketara, daripada ranking ke-10 kepada 4 teratas di Sukan Olimpik. Beliau telah menunjukkan bahawa sukan angkat berat mempunyai potensi raih pingat emas di LA2028 nanti.
"Saya telah bercakap dengannya hari ini bahawa RTG berikrar untuk memberi sokongan penuh untuk dia mendaki lebih tinggi, mengangkat lebih berat dan menjadi lebih kuat," katanya.
Semalam, atlet kelahiran Segamat itu menduduki tempat keempat dalam acara angkat berat kategori 61 kilogram (kg) lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024 yang juga merupakan rekod kebangsaan baharu dengan jumlah angkatan keseluruhan 297kg, mengatasi rekod kebangsaan sebelumnya sebanyak 1kg.
Aniq juga memecahkan rekod kebangsaan dalam acara snatch, 129kg dipegang oleh Muhammad Aznil Bidin dengan angkatan 130kg, tetapi berjaya mengangkat 167kg dalam clean and jerk.
Sementara itu Hannah berkata Muhamad Aniq sudah melakukan angkatan hebat dalam Sukan Olimpik walaupun terlepas pingat gangsa.
Beliau menambah bahawa atlet itu telah menunjukkan kepada Malaysia dan dunia bahawa kita boleh menjadi kuasa yang perlu diberi perhatian dalam sukan angkat berat.
"Saya percaya pada Aniq dan dia memberi inspirasi kepada negara hari ini. Saya pasti ramai anak muda kini ingin meneroka sukan angkat berat," katanya.
-- BERNAMA
*Tonton strim langsung Sukan Olimpik Paris 2024 di Astro, Astro GO, and sooka.
#Sukan Olimpik Paris 2024 #atlet angkat berat negara #mohamad aniq kasdan #Hannah Yeoh #Road to Gold