Olimpik Paris: Muhammad Azeem berdepan sesi latihan agresif
Bernama
Julai 11, 2024 15:31 MYT
Julai 11, 2024 15:31 MYT
KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi bakal berdepan sesi latihan yang agresif menjelang Sukan Olimpik Paris yang akan membuka tirainya 26 Julai ini.
Atlet berusia 20 tahun itu berkata sesi latihannya akan termasuk melakukan analisis biomekanik selain menganalisis dan mengenal pasti kelemahan yang ada pada prestasinya.
Beliau telah berbincang bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), jurulatihnya Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah dan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Robert J Ballard mengenai perkara berkenaan untuk menambah baik prestasi semasanya.
"Saya sudah berbincang bersama ISN, MSN, jurulatih dan Ballard rancangan menghadapi Olimpik, latihan minggu depan akan lebih spesifik, latihan agresif... buat beberapa analisis biomekanik, analisis prestasi, lihat perlumbaan dan cari mana kelemahan dan cuba baiki.
"Minggu depan saya akan fokus untuk memperbaiki permulaan dan larian garisan penamat," katanya kepada pemberita semasa sesi latihan di Trek Olahraga MSN di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Azeem berkata Ballard bakal mengiring dan menjadi penasihatnya di Olimpik Paris selain jurulatihnya dari Amerika Syarikat (AS) Ken Harnden yang akan berada di Paris untuk membimbingnya di temasya sukan itu.
Mengulas mengenai pencabar di Sukan Olimpik, Muhammad Azeem mengakui tidak bimbang dengan perkara itu dan menganggap semua pencabar bermula dari bawah ketika beraksi di pentas sukan terbesar berkenaan.
"Bagi saya pada tahap ini semua pelari sama sahaja, kita perlu tengok siapa yang akan hebat pada hari tersebut, saya berlari di Olimpik untuk mencabar diri saya," katanya.
Muhammad Azeem yang dipilih KOM untuk mengisi slot 'wildcard' ke Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlepas bersama Ballard pada 25 Julai ini.
Terdahulu, Ketua Kontinjen ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin melawat kem renang di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil sebelum bertemu Muhammad Azeem di sini.
-- BERNAMA