Olimpik Paris: Lebih 30 rekod baharu dunia dicatatkan setakat ini

Astro Arena
Ogos 8, 2024 16:45 MYT
Perenang tuan rumah Perancis, Léon Marchand berjaya memadamkan catatan Phelps iaitu 1 minit 54.23 saat. - Foto Stadium Astro
HANYA tinggal beberapa hari sahaja lagi temasya terbesar dunia iaitu Olimpik Paris 2024 akan menamatkan saingan secara rasmi, nyata pelbagai peristiwa dan catatan rekod dunia telahpun dilakar sekali gus memberi penanda aras yang baharu buat jaguh-jaguh sukan terkemuka dunia untuk bersaing dalam dunia dan Olimpik seterusnya.
Jika diikutkan lebih 30 rekod dunia menarik yang telah dilakarkan oleh atlet terbaik dari serata dunia ketika ini di Paris 2024.
Ia bukan sahaja merangkumi rekod catatan masa daripada pelbagai acara sukan tetapi juga turut meliputi rekod-rekod lain seperti kutipan mata dan sebagainya.
Antara yang menarik termasuklah apa yang dilakukan oleh atlet dari Poland, Aleksandra Mirosław yang memecahkan rekod catatannya sendiri bagi acara sukan memanjat Isnin lalu.
Pada temasya kali ini beliau berjaya melakukan catatan 6.06 saat berbanding catatan terdahulu sewaktu sesi kelayakan pada Kejohanan Sukan Memanjat Kesatuan Eropah yang berlangsung di Rom, Itali dengan catatan 6.21 saat.
Turut menarik perhatian dalam temasya kali ini adalah membabitkan atlet lompat bergalah dari Sweden, Armand Duplantis yang berjaya merekodkan catatan dunia yang baharu iaitu pada ketinggian 6.25 meter.
Rekod tersebut sebenarnya memadamkan rekod dunia yang menjadi miliknya juga iaitu 6.24 meter.
Dalam pada itu China juga seperti biasa tidak akan meninggalkan temasya olimpik tanpa membabitkan atletnya memecahkan rekod baharu dunia.
Ia terbukti menerusi acara renang 100 meter gaya bebas apabila Pan Zhanle mengejutkan dunia selepas beliau melakarkan catatan 46.40 saat yang kini menjadi rekod baharu dunia bagi acara berkenaan.
Selain itu atlet renang wanita Australia, Kaylee McKeown juga mencipta rekod baharu dunia dalam acara 200 meter kuak lentang selepas melakukan catatan 2 minit 03.73 saat.
Olimpik Paris 2024 kali ini juga menyaksikan rekod yang dipegang oleh legenda renang Amerika Syarikat, Michael Phelps bagi acara 200 meter medley yang dilakukan di Olimpik Beijing pada 2008 akhirnya lebur jua di tangan perenang tuan rumah Perancis, Léon Marchand yang berjaya memadamkan catatan Phelps iaitu 1 minit 54.23 saat.
Marchand berjaya melakukan catatan lebih baik iaitu 1 minit 54.06 saat.
Dalam acara olahraga pula mungkin ramai yang agak kecewa kerana kita masih belum mampu melihat rekod catatan yang dipegang oleh Usain Bolt tidak mampu dipadamkan bahkan masih jauh sekali andai berdasar catatan ketika aksi final bagi cara 100 meter.
Namun olahraga juga menyaksikan beberapa rekod baharu dunia masih mampu dilakar membabitkan acara-acara lain.
Ia termasuklah apa yang dilakukan oleh kuartet wanita 4X400 meter Amerika Syarikat, Vernon Norwood, Shamier Little, Bryce Deadmon dan Kaylyn Brown.
Mereka berjaya melakukan catatan 3 minit 07.41 saat pada sesi kelayakan sekali gus menjadi rekod baharu dunia selepas ia memadamkan rekod yang dipegang oleh kuartet senegara mereka sebelum itu di Kejohanan Dunia 2023 iaitu 3 minit 08.80 saat. -- Stadium Astro
*Tonton strim langsung Sukan Olimpik Paris 2024 di Astro, Astro GO, dan sooka.
#pecah rekod dunia #jaguh-jaguh sukan #Sukan Olimpik Paris 2024
;