Olimpik Paris: Kelibat perogol Belanda cetus rasa kurang senang atlet wanita
Astro Arena
Julai 26, 2024 16:15 MYT
Julai 26, 2024 16:15 MYT
ATLET bola tampar pantai Belanda, Steven van de Velde yang pernah disabitkan kesalahan merogol seorang gadis bawah umur pada tahun 2016 dan telah dijatuhkan hukuman penjara empat tahun bakal membuat penampilan di Olimpik Paris Ahad ini.
Dia kembali menyertai skuad bola tampar pada 2017 selepas hanya menjalani sebahagian daripada hukumannya di Britain dan kemudian dipindahkan ke Belanda untuk akhirnya dibebaskan.
Bagaimanapun, keputusan Belanda untuk membenarkan pemain berusia 29 tahun itu beraksi di Olimpik mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.
Namun, menurut agensi akhbar Belanda ANP, difahamkan dia tidak dibenarkan menginap di perkampungan atlet untuk "mewujudkan ketenangan" antara semua atlet.
Pegawai rasmi juga memaklumkan bahawa mereka akan mengambil langkah berjaga-jaga yang luar biasa untuk mengasingkannya daripada rakan sepasukan semasa temasya itu berlangsung serta dilarang bercakap dengan media.
Pemilihannya telah mendapat kritikan melampau daripada kumpulan keselamatan wanita dan sukan.
Menambah kegusaran semua atlet, apabila perlawanan pertama Van de Velde berjalan serentak dan diadakan di venue yang sama dengan acara wanita.
Van de Velde bakal beraksi bersama pasangan beregunya, Matthew Immers pada hari kedua perlawanan, Ahad ini bertemu pasangan daripada Itali, Adrian Ignacio dan Alex Ranghieri.
*Artikel disiarkan di Stadium Astro