Olimpik Paris: Gandingan tetap beregu campuran dimuktamad sebelum Terbuka Malaysia 2023 - Rexy
Bernama
September 10, 2022 11:00 MYT
September 10, 2022 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Gandingan beregu campuran tetap akan dimuktamadkan sebelum Kejohanan Terbuka Malaysia 2023 bermula, Januari ini, sebagai persediaan kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Memberi bayangan berkenaan, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky berkata gandingan tetap tersebut penting bagi mengumpul mata di siri kejohanan kelayakan bagi merebut slot ke temasya Sukan Olimpik itu, bermula 1 Mei depan .
"Memang kita ada satu sasaran buat Chen Tang Jie-Peck Yen Wei di Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini iaitu mereka harus sampai ke suku akhir. Seperti sedia maklum, mereka tidak capai sasaran jadi kemungkinan menukar gandingan itu kita perlu fikir.
"Kita juga perlu realistik bahawa kita tidak mempunyai ramai pemain wanita, jadi kena berbincang dengan para jurulatih dan bawa ke pihak pengurusan untuk membuat sebarang keputusan," katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara di sini semalam.
Kejohanan Terbuka Malaysia 2023 akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini bermula 10 hingga 15 Jan depan.
Rexy berkata setakat ini juga belum ada keputusan untuk kembali menggandingkan Valeree Siow dengan Tang Jie yang menampilkan aksi memberangsangkan menundukkan gandingan Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo yang juga ranking ke-17 dunia, pada Terbuka Malaysia Jun lepas.
Beliau berkata ketika ini hanya dua gandingan campuran, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei (ke-46 dunia) dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See (ke-83 dunia) yang akan dihantar bagi menggalas tanggunggjawab negara di Terbuka Denmark yang berlangsung pada 18 hingga 23 Okt depan.
-- BERNAMA