Olimpik Paris: Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mudah kalahkan beregu Singapura
Astro Arena
Julai 27, 2024 17:15 MYT
Julai 27, 2024 17:15 MYT
GANDINGAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, memulakan kempen Sukan Olimpik Paris 2024 dengan langkah kanan selepas mengetepikan cabaran daripada wakil Singapura, Hee Yong Kai Terry-Tan Wei Han Jessica, 23-21, 21-11 di Porte de la Chapelle Arena.
Saingan pertama Malaysia dalam kempen berprestij itu dimulakan dengan perlawanan sengit di set pertama menyaksikan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya bangkit selepas interval untuk mendahului seketika meskipun hampir diaibkan pasangan Singapura tersebut yang mengheret mata sehingga 20-20 sebelum menoktahkan kemenangan di set pertama.
Aksi diteruskan di set kedua dengan wakil negara mempamerkan permainan yang meyakinkan untuk mendominasi perlawanan kedua tersebut sekali gus meninggalkan jauh kedudukan mata yang sangat sukar dikejar oleh Hee Yong Kai Terry-Tan Wei Han Jessica.
Gandingan ranking ke-9 dunia berkenaan berhasil mendapatkan keputusan bersih menewaskan negara jiran dengan straight set selain bakal bertemu lawan dari China dan Amerika Syarikat (AS) dalam aksi Kumpulan D kempen tersebut.
*Artikel disiarkan di Stadium Astro
#Sukan Olimpik Paris 2024
#beregu campuran negara
#Chen Tang Jie-Toh Ee Wei
#kalahkan pasangan Singapura