Olimpik Paris 2024: Zii Jia mulakan kempen dengan tundukkan Viren

Bernama
Julai 28, 2024 13:45 MYT
Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia ketika beraksi menentang pemain Sri Lanka, Viren Nettasinghe dalam acara badminton Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte De La Chapelle hari ini. Zii Jia menang 21-14,21-12. - Foto BERNAMA
PARIS: Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia memulakan pencarian pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 dengan kemenangan mudah di hadapan sorakan kira-kira 8,000 penonton di Porte de La Chapelle Arena di sini hari ini.
Juara Seluruh England 2021 itu, dengan jari tengah sebelah kanan berbalut, menundukkan pemain nombor 70 dunia Viren Nettasinghe dari Sri Lanka 21-14, 21-12 dalam perlawanan Kumpulan G.
Bercakap kepada Bernama selepas aksi tersebut, Zii Jia berkata perlawanan hari ini lebih kepada untuk membiasakan diri dengan venue pertandingan dan mencuba perkara baharu.
"Banyak lagi yang tak biasa dekat gelanggang ini, jadi tadi saya cuba pelbagai pukulan dan posisi berbeza, diharapkan perlawanan seterusnya akan lebih baik.
"Tiada kecederaan pada jari, hanya untuk berjaga-jaga. Sorakan penonton di sini juga sangat hebat dan kuat, saya dapat rasakan perbezaannya berbanding di Olimpik Tokyo (ketika pandemik COVID-19)," katanya.
Ditanya jika ada sebarang pesanan untuk peminatnya di tanah air, pemain nombor tujuh dunia itu berkata: "Terima kasih kerana menyokong saya, diharapkan permainan saya akan bertambah baik dan terus meningkat, semoga ada keputusan yang baik di sini."
Zii Jia akan berehat sehari sebelum berdepan dengan pemain nombor 62 dunia Pablo Abian pada Selasa, manakala Viren bakal menentang pemain Sepanyol itu esok.
Satu-satunya pertembungan Zii Jia dengan Abian ialah pada pusingan pertama Terbuka Hylo pada 2021 apabila pemain asal Kedah itu diheret ke perlawanan penentuan sebelum menang 21-11, 21-23, 24-22.
"Dia seorang pemain yang sangat berpengalaman dan ini Olimpik kelimanya. Tidak mudah untuk menundukkan Abian, tetapi saya telah mempersiapkan diri," katanya.
Kemenangan ke atas Abian akan memastikan tempat Zii Jia dalam pusingan 16 terakhir, menentang Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia jika tidak tiada sebarang keputusan mengejut.
Semasa Olimpik pertamanya di Tokyo, Zii Jia tewas kepada jaguh China, Chen Long di pusingan 16.
-- BERNAMA
#olimpik paris 2024 #Lee Zii Jia #Malaysia #Viren Nettasinghe